RSS

Thursday, February 7, 2013

Akhi ukhti fantasia





‘ Tuhan, andai benar satu hari akan kau serahkan diriku buat seorang Adam, biarlah dia seorang yang punya fikrah yang kuat berdakwah, yang tidak redha dengan kemaksiatan, yang lincah mentarbiyyah umat, yang tidak langsung berlengah untuk menyerah harta dan jiwanya pada jalanMu, yang tenaganya tidak sedikit pun berbaki untuk dia mengejar dunia, yang hatinya tertaut pada masjid, yang malamnya hidup untukMu dalam tahajud yang menyuci jiwa, yang apabila aku memandang wajahnya, bertambah-tambah pujianku buatMu, yang apabila melihat akhlaknya, melimpah-limpah kerinduanku pada KekasihMu, dan tidurnya dalam dakap kitab suciMu kerana letih mentadabbur Al-Zikr, yang bibirnya tidak sunyi dari lantunan zikir dan hafazan surah-surah penghibur hati, yang apabila katanya penuh nasihat dan guraunya adalah sedikit kerana gentar akan kematian yang bila-bila masa sahaja menjemput.’
Mungkin kalian tidak pernah terbaca ungkapan mulus di atas. Begitu melankolis dan religious harapan si penulis buat bakal imamnya. Saya yang menaip ke huruf sekarang ini, juga tidak percaya, bahawa bait-bait puitis di atas adalah hasil gerakan jemari saya. Suatu masa dahulu..3 tahun yang lalu.April 2009.Noktah.
BAKAL IMAM SI HAWA
Seiring waktu yang berputar, selaju kaki yang melangkah, seramai manusia yang saya temui, sekali lagi, dan lagi sekali paradigma tentang wajah kehidupan itu berubah. Jika dahulu saya kenali wajah kehidupan seperti Bro Keanu Reeves lalu berubah sekejap seperti Bro Tom Cruise atau paling tidak si tampan Malaya Sdr Aaron Aziz, tetapi kini tidak lagi. Wajah kehidupan itu kadang meleper, tidak rata dan penyet tidak sempurna. Tidak seperti harapan-harapan indah yang pernah dinukilkan novel-novel romantis Islami atau di layar perak mengabadikan kisah ‘taaruf-nikah’ penuh debaran si akhi dan ukhti.
“Duhai bakal imamku…tuntunilah…santunilah…alunan zikir..tahajud cinta..”
Sedikit sebanyak begitulah kata-kata kunci ungkapan puitis yang ditulis si Hawa di laman Facebooknya atau di laman blognya. Lalu pada umur masih di pucuk rebung, saat melihat teman sekuliah erat berpegangan tangan ke hulu ke hilir dengan suaminya, makan berdua di café sambil bergaul mesra, mulalah hati menjadi tidak keruan. Menangisi nasib diri yang masih tidak dirisik lelaki ‘syurga’ untuk mententeramkan jiwa yang semakin gundah ini. Aduh, saya tidak mahu lagi menafikan, bahawa saya, saat di bangku kuliah juga pernah merasa iri sebegini.
Jika tidak, tidak mungkin ungkapan di atas pernah saya larikkan. Apatahlagi, berpasang-pasang teman seangkatan waktu itu rancak mengirim kad undangan dengan wajah penuh cinta dan bahagia. Menterjemah bahagia pada pegangan tangan, pada senyum tawa, pada menjemput dan menghantar si isteri, pada ‘gayut’ halal lewat telefon dan bergurau manja lewat SMS. Itulah saya.
BUKAN LAGI
Ibarat seorang doktor mengubati pesakit kanser, maka dia tidak perlu merasai dahulu sakitnya kanser itu sebelum layak mengubatinya. Begitu juga apabila saya kerap menulis tentang cinta dan nikah, ada yang menyindir santun bahawa selagi saya belum menikah, saya belum ‘ahli’ menulis tentang ini.  Tentang wajah kehidupan sebuah ‘Rumah Tangga’. Barangkali harga sebuah pengalaman tidak setanding dengan harga sebuah bacaan, penceritaan, penilitian atau pengamatan. Namun, memberi pandangan itu adalah kebebasan personal dan bersifat pegun. Pastinya.
Bahagia itu pada penderitaan
Tawa itu pada tangisan
Tenang itu pada taufan
Senang itu pada kepayahan

Mempercayai ungkapan di atas barangkali tidak siuman. Ibarat menterjemahkan rasa buah rambutan seperti rasa buah peria. Kontra sekali. Namun, itulah wajah kehidupan yang tidak seperti nilai matematika yang hanya satu itu jawapannya sungguhpun banyak jalan kira. Banyak antara kita yang tidak berpijak di bumi nyata, lalu mengakui bahawa yang namanya manusia adalah makhluk lemah tidak sempurna. Sehebat apa lelaki yang pada gelarannya adalah ‘Imam Muda,’ Al-Hafiz’, ‘Johan Tilawah’, ‘Vokalis Nasyid’ dan ‘Penceramah Popular’, satu ketika kita akan temukan ‘vice-versa’ yang tidak kita sangkakan. Bukan lagi suara merdu melagukan mushaf, bukan lagi sejadah yang terbentang di tengah malam, bukan lagi wajah yang menenangkan, dan lisan yang penuh nasihat seperti..err..seperti perenggan yang saya tampalkan semula di atas.
WAJAH KEHIDUPAN
Wajah kehidupan rumah tangga jauh lebih ‘indah’ daripada semua itu. Indah pada sabar dan berlapang dada. Indah pada redha dan menerima seadanya. Indah pada syukur dan tidak berbanding beza. Dan indah pada menahan air mata. Itulah rempah ratus rumah tangga yang jarang sekali disajikan dalam novel-novel dan filem-filem Islami yang semakin membiak di pasaran sehinggakan wajah kehidupan sebenar menjadi satu traumatis bagi mereka yang tidak bersedia menghadapinya. Jangan pelik kalau nanti kita merungut :
“ Hish, bukannya nak tolong mandikan anak, aku kat dapoq ni bersilat nak masak tengah hari kat dia.”
“ Eh, dah pukul 6, awat tak semayang asaq lagi..dok buat apa dari tadi depan laptop..hmm..”
“ Aku migraine, bukannya malas nak masak, nak jalan pun terhuyung hayang. Nak bawak baby dalam perut lagi, sampai hati dia kata aku pemalas..”
Inilah babak-babak ‘indah’ yang saya maksudkan. Saat di mana amarah dan sabar bertingkah. Saat di mana penyesalan dan redha bersahutan. Saat di mana maaf dan dendam bergantian. Ada satu ketika komitmen itu berjalan dengan penuh cinta, adakala ia hanya sekadar tanggungjawab semata sehingga mati rasa. Tetapi ia tidak bererti selamanya begini, kerana pada perkahwinan itu adalah proses taaruf yang yang tidak akan terhenti dan proses tafahum itu akan mengambil masa.
Tahun pertama, tahun kelima, tahun kesebelas, dan tahun kedua puluh, jangan terkejut jika anda baru mengetahui bahawa suami anda pengumpul setem tegar satu masa dahulu, saat anda mengemas stor lalu menemukan sebuah album setem miliknya. Barulah anda memahami bahawa rimasnya anda dengan sikapnya ‘suka simpan semua benda padahal tak guna’ adalah tempias daripada hobinya dahulu. Tidakkah ia satu kejutan yang lucu?
 DI JALAN CINTA PARA PEJUANG
Pernikahan itu melengkapkan diri dengan kematangan, kemahiran dan nilai-nilai hidup. Bukannya harapan-harapan berbulan madu sepanjang masa. Kerana di sebalik rencah rasa itu adalah perjuangan, perjuangan untuk mengenepikan hak demi memenuhi tanggungjawab terhadap rumah tangga. Di jalan cinta para pejuang, biarlah para novelis dan karyawan panggung memukau dunia dengan aktor-aktor pemuda ‘syurga’, dan kita adalah aktor di pentas realiti dengan keindahan kisah yang tersendiri.

from: http://muharikah.com

0 comments: