RSS

Saturday, August 7, 2010

buat gadis kesayanganku...

Gadisku…

Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Namun…tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari diri, umpama mawar merah, dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta panahan warnanya yang terserlah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang..tapi awas..duri yang melingkari dirinya bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Gadisku…

Aku suka sekirannya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah. Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah. Hiasilah wajahmu dengan titisan wudhuk. Ingatlah bahawa cirri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya. Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah…umpama sebutir permata yang didedahkan untuk perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup…sudah pasti keinginan diri kuat untuk melihat permata yang tersembunyi rapi tentulah melebihi daripada yang terdedah. Wanita solehah yang taat dan patuh kepada Al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam. Namun, segalanya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana bertentangan dengan nafsu serakah yang bersarang di dalam dirimu lebih-lebih lagi ‘title’ gadis yang engkau miliki, sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada. Namun ingatlah gadisku, sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah pasti akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu. Yang paling penting gadisku engkau mestilah mempunyai azam, usaha dan istiqamah.

Gadisku…

Akuilah dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggal dari tubuhmu maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu. Sesungguhnya Nabi S.A.W ada mengatakan tentang bahaya dirimu “Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita”. Oleh itu gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan biarkan orang lain mengeksploitasi dirimu untuk kepentingan tertentu. Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam, kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.


Gadisku…

Dalam hidupmu engkau pastinya ingin disayangi dan menyayangi, itulah fitrah semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yang tewas kerana cinta. Bercinta itu tidak salah, tetapi memuja cinta itu yang salah. Ini kerana disebabkan cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta juga maruah tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian besarnya kerana cinta. Benarlah sabda Rasullullah S.A.W yang membawa maksud “Sesungguhnya cinta itu buta”. Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan batil jika engkau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan bukan kerana Allah S.W.T. Sebelum engkau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu, mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik, yang berasal daripada setitis air yang tidak beharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah S.W.T. Semoga itu mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan timbul rasa cinta dan kasih kepada Penciptamu.

Gadisku…

Menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai. Tetapi, apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti akan bertaut kembali. Dalam usia mudamu, sibukkanlah diri dengan ilmu yang mampu menajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu. Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat.

Akhir kalam, terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiyah sebagai renungan bersama. “Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kabahagian yang hakiki untuk seorang insan dan ia tidak kekal abadi kerana manusia itu sering membuatkan seseorang kecewa, gagal, merasa terseksa. Oleh itu, tiada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagian dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia itu sendiri

RAMADHAN YANG DIRINDUI MENGGAMIT KINI

Seperti tahun-tahun yang berlalu, Ramadhan datang dan pergi silih berganti umpama ombak yang menghempas pantai. Ramadhan kali ini bakal tiba lagi bersama denyutan rahmat dan barakah yang penuh makna bagi mereka yang sentiasa merindui bulan ini. Jika diingat kembali setahun yang lalu, bagaimana dan apakah cara yang kita raikan kedatangan bulan penuh rahmat ini. Adakah hambar seperti tiada apa-apa yang berlaku atau kita sudah pun merancang dengan pelbagai program sepanjang Ramadhan ini bak kata orang sekarang, "tepuk dada tanya iman".

Apa istimewanya Ramadhan? Ramadhan ertinya panas terik. Kalau diikut dari segi bahasa sememangnya tiada keindahan yang mampu diimaginasikan dengan perkataan panas terik. Jadi, dimanakah keistimewaan bulan ini? Mari kita sama-sama menelusuri sejarah Ramadhan, Ramadhan merupakan bulan diturunkan al-quran yang mana disebut syahru Ramadhana. Selain itu juga, Ramadhan punyai memori manis Islam iaitu berlakunya perang badar kubra dan mendapat kemenangan. Bulan ini juga merupakan bulan yang mana Nabi Muhammad saw mengambil semula Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala. Malah malam Lailatul Qadar yang ganjarannya lebih baik daripada 1000 bulan hanya dapat diperolehi pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan.

Kita yang hidup ini pun menerima pelbagai kelebihan malah ahli kubur juga turut mendapat manfaat daripada bulan ini iaitu bagi yang telah meninggal dunia terlepas daripada seksa kubur. Betapa istimewa bulan ini yang tiada taranya berbanding 11 bulan yang lain. Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan; awalnya adalah RAHMAH, pertengahannya adalah KEAMPUNAN dan akhirnya adalah PEMBEBASAN DARI API NERAKA." [Maksud Hadis]. Ramadhan merupakan jihad ruhi yang menguji keimanan manusia dan kekuatan iradahnya. Semakin kita kuat mengekang gelojak keinginan nafsu, semakin kita menghampiri kelazatan rohani. Apabila kita mampu menguasai diri, maka akan terbukalah pintu-pintu kemenangan. Kemenangan yang bagaimana ? kemenangan mengalahkan nafsu. Jihad melawan nafsu, mengubah dari kebiasaan kepada perkara yang kita tidak biasa bagi mendidik hati agar ditarbiah ke arah perkara-perkara rohani dan pembangunan insaniah. Firman Allah, "Dan mereka yang bermujahadah pada Kami, maka Kami akan tunjuki kepada mereka jalan-jalan Kami."

Sudahkah kita menyiapkan diari harian Ramadhan? Bulan yang istimewa sudah pasti kedatangannya juga harus disambut seistimewa yang boleh. "Lihatlah apa yang ada di dalam HATI kamu" (Junaid al Baghdadi) . "Sejahtera amal kerana sejahtera hati. Sejahtera hati kerana sejahtera niat. Sesiapa yang mensucikannya, maka dia akan beroleh kesucian. Dan sesiapa yang mencalarkannya, maka hatinya akan tercalar." (Muthrif bin Abdullah asy Sikhir) . Rasulullah saw telah bersabda :

Yang bermaksud: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya: Orang yang berpuasa sehingga berbuka, imam yang adil dan doa orang-orang yang dizalimi".

Pelbagai amalan dan aktiviti yang boleh kita lakukan di bulan Ramadhan antaranya:

1. Mengerjakan Perkara Yang Wajib
 Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud " Sesiapa yang menunaikan satu perkara fardhu padanya iaitu pada bulan ramadhan, seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardhu pada bulan yang lain".

2. Melakukan Amalan Sunat
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud " Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan melakukan kebaikan pada bulan Ramadhan, seolah-olah dia telah melakukan perkara fardhu pada bulan yang lain".
3. Memberi Makan Untuk Orang Yang Berbuka Puasa
 Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud" Sesiapa yeng memberi makan kepada orang yang berpuasa ( sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan tengkuknya daripada api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun" Kami bertanya " Wahai Rasulullah, tidak semua dari kalangan kami memiliki sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa". Lalu Baginda menjawab "Allah akan memberi ganjaran pahala tersebut kepada sesiapa yang memberi makan kepada rang yang berpuasa walau dengan seteguk susu, tamar atau air. Barangsiapa yang memberi makan sehingga kenyang orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum dengan air telagaku di mana orang yang meminumnya tidak akan merasa dahaga sehinggalah dia masuk ke syurga".

4. Memperbanyakkan 4 Perkara Iaitu:
i. Lailahaillallah
ii. Istighfar
iii. Doa supaya dimasukkan ke dalam syurga
iv. Dilindungi dari api neraka

 Sabda Rasululah s.a.w yang bermaksud." Hendaklah kamu memperbanyakkan 4 perkara berikut: Dua daripadanya akan membuatkan Allah redha terhadap orang yang melakukannya

sementara dua perkara lagi adalah sesuatu perkara yang sangat perlu bagi kamu. Dua perkara yang menjadikan Allah redha terhadap pelakunya ialah syahadah lailahaillallah dan memohon keampunan keadaNya. Sementara dua perkara yang sangat diperlukan itu ialah memohon kepada Allah syurga dan berlindung kepadaNya daripada api neraka'.
5. Membaca Al- Quran
 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud." Barangsiapa yang membaca Al-Quran lalu dizahirkan dalam kehidupannya, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Al-Quran, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang daripada ahli keluarganya yang sepatutnya dimasukkan ke dalam api neraka".

6. Bersedeqah
 Ibnu Abbas menyatakan " Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling pemurah dan waktu yang paling pemurah sekali bagi Baginda s.a.w ialah pada bulan Ramadhan".

7. Menghidupkan Malam-Malam Ramadhan Dengan
Solat Terawih
 Mengerjakan solat terawih adalah sunat muakkad kepada orang lelaki dan perempuan kerana ia telah menjadi amalan Baginda s.a.w dan khulafa' Ar-Rasyidin.

8. Beriktikaf
 Daripada Aisyah r.a berkata "Bahawasanya Nabi s.a.w beriktikaf pada 10 hari teraknir Ramadhan sehinggalah baginda wafat,kemudian isteri-isteri Rasulullah melakukan iktikaf selepas wafatnya Nabi s.a.w".

9. Menghidupkan Malam Eidulfitri
 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Sesiapa yang menghidupkan malam Eidulfitri dengan mengharapkan keredhaan daripada Allah, hatinya tidak akan mati ketika orang lain mati".

Hakikat masa, "Setiap kali matahari terbenam, maka aku akan merasa kesal kerana umurku semakin berkurang sedangkan amalanku tidak bertambah." (Ibnu Mas`ud) . "Di dunia ini hanya ada TIGA hari; semalam, maka ia telahpun berlalu. Dan esok maka kita sendiri pun tidak tahu bagaimana keadaannya. Sedangkan hari ini, maka itulah habuan kita. Justeru buatlah amalan padanya." (Hasan al Basri). Itulah hakikat masa yang sebenarnya pergi tanpa kita sedari, berlalu dengan pantas . Satu hari di bulan Ramadhan adalah peluang keemasan untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah dengan pelbagai ketaatan dan amalan. Menanti untuk kita berbagai ganjaran dan kelebihan. Semoga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang lebih baik dari yang lalu dan terbaik sepanjang hidup ini. Selamat beramal!!