RSS

Tuesday, September 11, 2012

TAKDIR KASIH



                “Siapa jadi imam hari ni?”, tanya Hannan pada Raudhah. “Siapa lagi, imam awak lah,” jawab sahabat baikku itu sambil ketawa mengekek mengusik. Merah wajah menahan malu. “Apalah awak ni, saya mana layak untuk dia,” jawabku memberi alasan agar Raudhah senyap walhal dia tahu peristiwa aku dikhitbah oleh “imam muda” tersebut dan hampir setahun aku masih tidak memberi jawapan. Istikharah sudah ku lakukan, jawapan sudah terikat kemas dalam hati namun, aku masih tidak punya kekuatan untuk mengungkapkan “YA”.

                Aku intai dia di balik kain tirai yang membataskan bahagian muslimin dan muslimat di musolla maahad kami. Tegas dia mengajar tajwid kepada adik-adikku. Terbayang di imaginasi saat dia mengajar dan membimbing anak-anak kami nanti. Allah, apalah kau ni Hannan berangan seorang diri. Sengih terkoyak di bibirku. Namun, tidak ku nafikan perasaan ini mula bercambah sejak ku mulai membuat istikharah setahun lalu. Adakah aku ini menguji kesabaran dia dengan mengambil keputusan untuk berdiam diri atau aku takut. Takut untuk meletakkan kepercayaan kepada dia.

                “Mabruk ukhti! Enti telah ditawarkan oleh Universiti Islam Madinah untuk menyambung pengajian di sana selama 3 tahun”, ucap mudir maahad kami Ustaz Ammar. Alhmengucapkan amdulillah, segera ku sujud syukur. Impianku selama ini akhirnya dimakbulkan Ilahi. Ramai yang mengucapkan tahniah dan dia adalah antaranya. Segala persiapan aku lakukan dengan penuh rapi kerana aku bakal meninggalkan maahad kesayangan ku ini dan jarak beribu batu bakal memisahkan.

......................................................................................................................................
                Ramai sahabat baru aku kenali di sini. Penat berjalan di sekitar bandar Madinah ditambah cuaca yang agak panas membuatku melajukan langkah. Petang kelmarin ayah di kampung menelefon ku, ada lagi lamaran yang hadir. Aku termenung sendirian. Ayah mengharapkan aku memberi jawapan yang positif kerana aku sentiasa menolak semua pinangan yang hadir kecuali imam muda itu, Ustaz Uwais yang aku minta untuk beri masa dan sampai sekarang istikharah masih ku lakukan. Aku tanyakan pendapat pada naqibah usrah dan jawapannya agar aku segera memberi jawapan. Ku minta pendapat ustaz-ustazah yang pakar untuk mentafsir mimpiku. Aku ingin bina baitul muslim dan biarlah pasangan yang aku pilih ini akan dinikahkan juga oleh Allah dengan ku di syurga kelak.

                “Ustazah Hannan kita ni sejak akhir-akhir ni asyik termenung saja. Teringatkan buah hati di Malaysia ke?,” sapa sahabat serumah ku, Rabeah yang juga satu maahad denganku dulu. Tersipu ku seketika. “MasyaAllah, Ustazah Rabeah, terkejut ana. Ana sedang berfikir tentang Ustaz Uwais sebab dah dua minggu berturut-turut dia hadir dalam mimpi ana. Enti pun tahu ana selalu tak sebulu dengan dia sejak di maahad lagi. Tapi sekarang...ana tak faham kenapa hati ana rasa lain”, luahku agar sahabatku yang berpipi montel dan suka tersenyum ini dapat menenangkan fikiran dan minda yang mula berkecamuk.

                “ Sahabatku Hannan, enti dah lama buat istikharah dan sekarang ana rasa, enti harus memberikan dia jawapan. Tak baik biar dia tunggu lama-lama. Nanti lama-lama dia diambil orang,” sambil mengeyitkan mata mengusikku. Bantal busuk aku baling pada Rabeah, mengekek dia lari menyelamatkan diri. Allah, betulkah ini. Aku di Madinah, dia di Malaysia. Tetapkan hati aku.

                Merona merah wajahku menahan malu. Aku khabarkan keputusan hati kepada keluarga di Malaysia dan naqibah usrah. Jawapanku, “YA” sudah pun tiba ke telinga Ustaz Uwais di Malaysia. Bibit-bibit bahagia mula menjelma. Alhamdulillah. “Nak ikat berapa lama?”, terkebil-kebil aku bila soalan ini diajukan oleh ayah, Ustaz Uwais, dan  naqibah usrah. Aku hanya mampu tertunduk. Tidak mampu memberi jawapan. Aku harus mempersiapkan diri untuk menjadi seorang isteri solehah dan ibu yang mampu membimbing anak-anak menjadi pejuang agama. Aku biarkan jawapan itu di tangan Ustaz Uwais. Heboh di maahad tentang aku dan Ustaz Uwais. Ramai adik-adikku di Malaysia menelefon dan mengucapkan tahniah.




                Ramai yang berkata, tempoh bertunang adalah saat paling getir. Kini, hanya bahagia yang menyapa hati dan tiada duka.  Ulama’ nusantara terkenal, Hamka pernah berkata, “ Cinta adalah sebahagian daripada naluri manusia, maka alangkah baiknya jika tumbuh mengikut kewajarannya. Cinta yang tidak terbatas itu bagaikan layang-layang terputus talinya, dalam percintaan ada pertemuan dan perpisahan. Kehidupan ini umpama bunga maka cinta adalah madunya”. Biarlah segalanya berlandaskan Islam, doaku dalam hati.

                Aku kembali sibuk dalam program tarbiyah dan dakwah dengan adik-adik junior ku di sini. Pejam celik sekelip mata sudah hampir 9 bulan aku mengikat janji dengan Ustaz Uwais. Apalah khabar dia di sana agaknya. Laju tanganku menaip namanya untuk melihat profil Facebook dia. Ini sahajalah medium yang memberikan ku berita tentang keadaan dia di sana. Hanya Allah yang tahu, kerjaku setiap hari adalah melihat perkembangan profil Facebook dia dan berita dari adik-adik maahad tentang tunangku itu. Rasa seperti mimpi, insan yang sering aku berbalah dan berdebat akhirnya dia jadi pilihan hatiku.

“Uwais Qarni changed his status from engaged to single”

                Takkanlah Facebook ni tipu aku. Aku gosok-gosok mata. Apa ni???...terdiam ku dan rasa tidak berdaya. “ting..ting”  jam berbunyi menandakan pukul 2 petang. Allahuakbar, terlupa ada usrah dengan adik-adik. Segera aku lajukan langkah menuju taman, lokasi pilihan usrah ku untuk minggu ini. Sempat aku luahkan kegusaran hati kepada seorang sahabat, Ustaz Najmuddin yang  juga merangkap murobbiku kerana dia adalah bekas naqib Ustaz Uwais Qarni, tunangku. “ Jangan biarkan perkara kecil ini menghalang ukhti untuk terus fokus pada perkara-perkara besar (tanggungjawab dakwah). Bersabarlah. Yakinlah dengan nikmat dan ujian Allah”, kata-kata nasihatnya aku cerna dan segera ku melangkah menuju adik-adikku yang dahagakn pencerahan.

                Usrah sudah selesai, malam ini selepas isyak ada sesi daurah dengan adik-adik junior di masjid. Esoknya pula ada Jaulah ke Jordan bersama-sama sahabat lain dan di sana kami akan bertemu dengan sahabat-sahabat sefikrah dan merapatkan silaturrahim yang dibina atas dasar Islam. Aku hampir terlupa 
“krisis” aku dan Ustaz Uwais lantaran kesibukkan dan fokus ku pada program-program dakwah.

                “Akak bila nak nikah, dah tak sabar nak makan nasi minyak ni...” tanya Solehah adik usrahku. Allahuakbar, aku hampir terlupa tentang persoalan dan krisis itu. Aku dengan nada bergurau menjawab, “mungkin tak jadi kot dik..hehe..,” terkejut Solehah mendengar jawapanku apatah lagi aku akhiri jawapanku dengan gelak. Pedih kah hati ini? Ya! Memang pedih. Biarlah aku sahaja yang menanggung derita. “akak, janganlah macam ni. Terkejut ana. Boleh lagi ketawa bagi jawapan macam tu. Kenapa ni? Akak selesaikan baik-baik ya dengan tunang akak tu. Ana harap dia jodoh akak.amiin..,”..senyum pahit mampu ku berikan kepada dia.

                Aku telefon orang Malaysia. Khabar yang aku terima daripada adik-adiknya sebagai orang tengah, “ Ustaz kata, dia sendiri akan terangkan segalanya nanti,” umpama putus nyawa aku mendengar. Dia biarkan aku tertanya-tanya. Allah, bukan mudah untuk aku memberikan kepercayaan kepada dia, jangan biarkan kepercayaan itu musnah..kerna aku takut aku tak mampu merawat hati yang telah dicuri dan mungkin hancur kerana  dia...

                Aku sibuk berdakwah dan tanpa sedar aku telah berdakwah kepada insan yang punyai niat lain. Keselamatanku terancam. Rumahku diperhatikan saban hari. Aku berdakwah kepada seorang wanita, tetapi tidak aku ketahui yang dia boleh terjatuh hati kepadaku. Tersilap tafsir atas segala bantuanku dan keprihatinan. Dia jadi begitu lantaran kecewa dengan bekas suaminya yang suka mendera dan curang. Dia mula hilang percaya pada lelaki. Dia mula bertindak agresif dan menunjukkan tanda yang dia amat cinta dan sayang padaku. Sahabat-sahabat mula risau dan memindahkan aku ke suatu tempat demi keselamatanku. Berita ini aku khabarkan pada Ustaz Uwais, aku takut dan fobia. Aku harapkan bantuan hadir dan alhamdulillah sahabat-sahabat amat menjagaku.

                Sudah sebulan aku berpindah ke tempat baru ini. Ustaz Uwais, langsung tidak memberi respon malah langsung tidak hiraukan aku. Banyak persoalan tercetus tetapi tiada jawapan. Aku faham kerana ingin menjaga tetapi hati sedikit tersayat apabila muslimin yang pernah aku tolak lamarannya menjadi tunjang utama dalam memastikan keselamatanku dan sering mengutus berita tentang keselamatanku kepada keluarga di kampung. Serba salah jadinya aku. Aku tahu dia ikhlas.

                Raya kali ini aku pulang ke Malaysia. Keluarga sibuk bertanya tentang bakal menantu mereka. Aku hanya menyampaikan satu pesanan ringkas SMS kepadanya, “ assalammualaikum. Asif menggangu ustaz. Keluarga ana jemput ke rumah sempena hari raya dan kenal dengan saudara mara ana yang lain. Jzkk”,aku harapkan dia memberi respon. Ku pujuk hati. Sudah masuk minggu ketiga syawal, aku pun akan berangkat ke Madinah tidak lama lagi. Resah hati menanti dia yang tidak kunjung tiba. Keluargaku mula mempersoalkan tentang “kami”. Hanya diam sebagai jawapan.

                “Dulu, setahun lebih dia boleh setia dengan lamarannya kepada ana, sanggup tunggu dan bersabar untuk dapat jawapan dari ana tetapi kenapa bila sudah ikat janji, dia buat begini pada ana. Apa salah ana. Ana tak larat nak main tarik tali lagi. Ana jauh. Ana tak tahu keadaan dia. Andai dia ada pilihan yang lebih baik, utuskan berita, sampaikan. Jangan buat ana begini. Menanti tanpa kepastian..”, habis basah bahu sahabatku Raudhah. Segala rasa hati aku hamparkan. Bukan mudah untuk aku terima dia, mencuri takhta istimewa dalam hatiku. Diam dia, bisu dia, menambah pedih di hatiku.

                Aku sudah kembali ke bumi Madinah. “Tunang” orang..masih validkah status itu atas diriku? Di keheningan malam, berlabuh sayu doaku....

Apakah ini takdir kasih aku dan dia
Pinjaman rasa mawaddah yang tercipta itu nikmat yang tidak terkata
Diam dia, kebisuan dia umpama racun dalam diriku
Ya Allah, jika benar dia bukan untukku...mudahkan aku buang rasa cinta ini
Aku juga ingin bahagia walau tanpa bersamanya
Jika dulu aku sibuk menyiapkan diri untuk menjadi suri rumah di baitul muslim kami
Tetapi kini aku sedang menganyam dan mencari kembali sisa-sisa kekuatan dan pasrah
Sebagai bukti cintaku sebagai hambaMU atas setiap takdir yang bakal Kau titipkan
Moga aku tabah...amiin..

                “Apa pun yang akan terjadi, kami harap akak kuat dan terus kuat”, mesej daripada adik-adikku di Malaysia menyentap tangkai hati yang sedia terluka. Inikah takdir kasih kita? Bukan mudah untuk ku anyam rasa cinta dan mawaddah ini, sebegitu lama ku ambil masa untuk anyam ia dan untuk ku rungkai kembali apakah mustahil...mungkin seluruh hidupku mampu merungkai ikatan itu...

                Putus tunang. Orang sering memandang ustazah sepertiku ini kuat dan tiada masalah. Hanya aku dan Allah yang tahu. Ya, memang aku bercinta dengannya tetapi rasa rindu dan cintaku padanya, aku labuhkan kepada Allah, cinta teragung. Dia yang hadirkan dan hanya pada Dia kekuatan untuk ku berdiri teguh di atas ikatan pertunangan ini. Jika aku tiada iman, mungkin Ustaz Uwais sudah aku serang seperti pasangan lain. Namun, iman dan kecintaan yang lebih kepada ALLAH membuatku untuk terus bersabar...ya Allah, timbul persoalan di hati..sampai bila aku harus menanti....