RSS

Friday, December 21, 2012

Takwa: Ketika Bersendirian dan...



Bismillahirrahmanirrahim..

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” 
[QS Ali ‘Imran, 3:102]


“Bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah semua manusia dengan budi pekerti yang baik.” 
[HR Tirmidzi. Ia berkata, “Hadith hasan dalam kitab lainnya dikatakan, hadith hasan shahih]

Bersendirian. Itulah saat yang paling digeruni oleh seorang mukmin. Tetapi, itulah saat yang paling digemari oleh musuh kepada mukmin iaitu iblis dan bala tenteranya yang setia. Kebiasaannya, fenomena seperti ini berlaku ketika mana ikhwah atau akhwat itu pulang ke rumah untuk cuti semester atau kebetulan dia ditempatkan di suatu medan yang jauh.

Ikhwah atau akhwat yang pada asalnya sangat bersemangat dan bertenaga dalam mengendalikan tanggungjawab dakwah semasa di kampus mula kelihatan semakin ghaib dan ghaib dan ghaib dan terus hilang kadang-kadang. Panggilan telefon tidak berjawab. Mesej tidak berbalas. ‘Chatting’ tidak berespon tetapi statusnya ‘online’. Ikhwah atau akhwat yang pada asalnya sangat antusias dan ghairah dalam melaksanakan dan menggerakkan dakwah ketika saat di bersama-sama dalam keadaan ikhwah dan akhwat yang sangat ramai malahan lesap dan terus lenyap ketika dia mula keseorangan kerana terpaksa pindah ke tempat jauh atau berlaku tragedi.

“Afwan akhi, ana tiada kekuatan..” 

“Asif akhi, ana merasa lemah bila duduk di rumah. Tiada ikhwah yang memantau ana..”


Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Pertama, mari kita lihat pada alasan-alasan yang diberika dahulu.

Jika alasannya ialah tiada kekuatan. Satu benda yang ana mahu ingatkan kepada dia ialah di mana dia meletak sumber kekuatan dia selama ini? Adakah dia meletakkan sumber kekuatannya mutlak kepada Allah SWT atau sebaliknya? Saya selalu mengingatkan diri saya sendiri dan ikhwah-ikhwah untuk tidak meletakkan sumber kekuatan kita kepada manusia kerana manusia itu sendiri belum tentu kuat, bahkan secara realitinya dia sendiri memerlukan kekuatan dari suatu sumber yang lain.

Secara fizik, tenaga akan mengalir dari satu kawasan kepada suatu kawasan yang lain bergantung kepada kecerunan atau perbezaan darjah. Tenaga yang tinggi akan mengalir dan memenuhi kawasan yang mempunyai kadar tenaga yang rendah.

Secara praktikalnya, jika kita meletakkan sumber kekuatan kita kepada seseorang yang kuat, dia mungkin akan memberikan kita tenaga untuk kita bangkit dari kelemahan. Tetapi persoalannya, untuk berapa lama? Lambat laun manusia itu akan kehabisan tenaganya lalu mati. Kemudian, kepada siapa perlu kita bergantung? Tetapi jika kita meletakkan sumber kekuatan kita kepada Allah, ketahuilah bahawa Allah itu Maha Kuat dan tidak akan mati. Tenaga yang dimiliki-Nya tidak dan tidak akan pernah habis, bahkan Dia jualah sumber kekuatan untuk “peribadi” yang kita merasakan dia hebat itu tadi.

Sia-sialah jika kita meletakkan pergantungan kita baik dalam masalah kehidupan biasa atau dalam masalah gerak kerja dakwah selain daripada Allah kerana dalam sebuah hadith qudsi, Allah telah mengingatkan kepada kita bahawa kita (manusia) memang tiada apa-apa langsung melainkan Allah-lah yang telah memberikan kepada kita semuanya.

Dari Abu Dzar Al-Ghifari RA dari Nabi Muhammad SAW  yang diriwayatkan dari Allah Azza wajalla: Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman maksudnya :

"Hai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku haramkan perilaku zalim atas diri-Ku dan Aku jadikan di antaramu haram maka janganlah kamu saling menzalimi. Hai hamba-Ku! Kamu semua sesat kecuali orang yang telah Kami beri petunjuk maka hendaklah minta petunjuk kepada-Ku, pasti Aku beri petunjuk. Hai hamba-Ku! Kamu semuanya lapar kecuali yang telah Aku beri makan, hendaklah kamu minta makan kepada-Ku, pasti Aku memberi makan padamu. Hai hamba-Ku! Kamu semua telanjang kecuali yang telah Aku beri pakaian, hendaklah kamu minta pakaian kepada-Ku, pasti Aku memberi pakaian padamu. Hai hamba-Ku! Sungguh kalian lakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni dosa-dosa itu semua maka mintalah ampun kepada-Ku, pasti Aku akan mengampuni kalian. Hai hamba-Ku! Sungguh kalian tidak dapat membinasakan Aku dan kalian tidak dapat memberi manfaat kepada-Ku. Hai hamba-Ku! Jika orang terdahulu dan orang yang terakhir daripadamu, manusia dan jin semuanya, mereka itu berhati takwa seperti paling takwa diantaramu, hal itu tidak akan menambah kerajaan-Ku sedikit juga. Hai hamba-Ku! Jika yang pertama dan terakhir daripadamu, manusia dan jin seluruhnya, mereka berhati jahat seperti paling jahat diantaramu, itu tidak akan mengurangi kerajaan-Ku sedikitpun. Hai hamba-Ku! Jika orang terdahulu dan terakhir diantaramu, manusia dan jin semuanya, mereka berada di bumi yang satu, mereka meminta kepada-Ku maka Aku berikan setiap orang permintaannya, hal itu tidaklah mengurangi apa yang ada pada-Ku, melainkan seperti sebatang jarum dimasukkan ke laut. Hai hamba-Ku Sungguh itu semua amal perbuatanmu. Aku catat semuanya bagimu sekalian kemudian Kami membalasnya. Maka barangsiapa mendapat kebaikan hendaklah bersyukur kepada Allah dan barangsiapa mendapat selain itu maka janganlah ia menyalahkan kecuali dirinya sendiri." 

[HR Muslim, no. 117]

Bahkan Rasululllah ketika direjam dengan batu oleh penduduk Taif, dia tidak meletakkan pergantungan kekuatan dan kejayaan dia melainkan kepada Allah SWT semata-mata.

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaan-Mu. Pengetahuan-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nya-lah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"

Jika alasannya ialah tiada yang memantau, maka perlulah dia ingat bahawa Allah SWT sentiasa memantau diri dia walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana Allah SWT itu Maha Melihat.


Terlupa semua ini? 

Kerana itulah kita sangat memerlukan lingkungan atau ikhwah dan akhwat kita untuk saling mengingatkan dan membantu kita.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta'at pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” 
[QS at-Taubah, 9:71]

Bahkan Rasulullah SAW juga mengingatkan kepada kita mengenai sebuah hadith,

"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai". 
[HR Ahmad]

Dan Khalifah Umat Islam yang kedua, iaitu Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab juga pernah mengatakan bahawa,

“Tiada Islam, tanpa Jemaah.”

Jemaah di sini secara mudahnya merujuk kepada perkumpulan atau satu ikatan persaudaraan (ukhuwwah) antara seorang muslim dengan yang lainnya. Oleh itu, suasana ukhuwwah islamiyah dan ukhuwwah imaniyah memang perlu kita tanam dan semaikan dan hidupkan dalam kehidupan seharian kita kerana itulah antara ruang dan peluang untuk kita sama-sama menjaga kualiti iman kita kepada Allah SWT hinggakan Rasulullah SAW mengisyaratkan kepada kita,

“Tidak beriman seseorang di antara kamu selagi dia tidak mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.” 
[HR Bukhari]

Iman dan ukhuwwah diletakkan pada satu tahap yang sama. Hilang salah satunya maka akan membawa kepada kesan yang buruk. Ada sahaja orang yang beriman, tetapi tidak berukhuwwah. Ada juga yag berukhuwwah, tetapi tiada iman. Allah SWT juga mengingatkan kita antara tujuan kita berukhuwwah ialah untuk saling memperbaiki diri kita sama-sama untuk menuju kasih sayang-Nya (rahmat).

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” 
[QS al-Hujurat, 49:10]

Bahkan jauh lebih penting ialah untuk menuju ketakwaan di sisi Allah agar meraih redha menuju syurga.

“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” 
[QS az-Zukhruf, 43:67]


Masalah Sebenar
Sebenarnya, masalah sebenar kita ialah terdapat pada hati kita, kerana Rasulullah SAW sendiri mengisyaratkan kepada kita bahawa,

''Taqwa itu di sini, taqwa itu di sini, dua kali atau tiga kali, sambil beliau menunjuk dengan tangan beliau ke arah dadanya.'' 
[HR Ahmad]

Takwa itu di dalam dada ataupun hati kita. Bukan hanya ada ketika kita membaca al-Quran atau ziarah ke masjid. Jika ketakwaan kita benar-benar ada di dalam hati kita, insya-Allah di saat kita sedang dalam keramaian mahupun sedikit, kita tetap mampu beriman dan bertakwa kepada Allah dengan baik. Jika takwa tidak lagi mendiami hati kita, maka wajarlah graf keimanan kita menurun dan kita mula melemah sehinggakan mudahlah kita untuk termakan atau sengaja memakan pujuk dan rayu hawa nafsu kita yang  sedang ditunggangi syaitan.

Abu Dzar ketika diarahkan pulang ke kampungnya tidak pernah memberikan alasan kepada Allah dan Rasulnya untuk tidak berbuat kerja dakwah dan tarbiyah kerana dia bersendirian tanpa teman, malahan masyhur dalam kitab-kitab sirah menceritakan bahawa dia membawa seramai 5000 keluarga dari suku Ghifar dan suku Salam selepas perang Khandak ke Madinah bertemu Rasulullah SAW dalam tempoh beberapa tahun sahaja! Mus’ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum tidak pernahmemberikan alasan kepada Allah dan Rasulullah SAW untuk tidak berbuat kerja dakwah ketika mereka hanya berdua yang pergi ke satu tempat baru untuk membuka lahan dakwah. Jika bukan mereka yang kita contohi, siapa lagi?

Wahai ikhwah dan akhwat yang dikasihi, hati yang kotor tidak akan didiami oleh sesuatu yang mulia seperti takwa. Mungkin sahaja dia merajuk kerana kita tidak memelihara atau memberikan perhatian kepada dia dengan benar, lalu dia lari. Apabila hati sudah kotor, maka wajarlah akhlak kita sesama manusia dan sesama Allah semakin teruk kerana hati yag bersih akan melahirkan jasad yang bersih. Hati yang kotor akan menjelmakan akhlak yang kotor juga. Maka bersihkalah hati kita dengan al-Quran, solat malam dan pelbagai lagi ibadah sunnah yang ada disamping kita menjaga dengan benar ibadah-ibadah yang wajib. Selalulah kita mencari peluang untuk memberi peringatan dan mendengar peringatan agar diri kita yang sentiasa mudah lupa dan leka serta lalai ini sentiasa berada di dalam keadaan terjaga dan sensitif terhadap masalah iman dalam hati kita dan diri orang lain. Hidupkanlah halaqoh untuk diri kita dan lingkungan kita. Pergilah pujuk takwa itu untuk kembali.

Ketika bersendirian, jangan kita menjauhi ikhwah atau akhwat kita kerana itu akan membuka ruang kepada syaitan untuk memanfaatkan keadaan itu untuk lebih menyesatkan diri kita lagi. Komunikasi pada zaman sekarang ini sangat mudah, cuma tinggal kepada kita sahaja sama ada mahu memanfaatkannya atau tidak.


Kesimpulannya
Akhir sekali untuk semua ikhwah dan akhwat, jangan tinggalkan sesuatu kebaikan hanya kerana kita telah melakukan seribu kejahatan kerana mungkin sahaja perbuatan baik itu bisa menghancurkan beribu kejahatan yang telah kita lakukan. Insya-Allah.

“Bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah semua manusia dengan budi pekerti yang baik.” 
[HR Tirmidzi. Ia berkata, “Hadith hasan dalam kitab lainnya dikatakan, hadith hasan shahih]


Mohamad Khir bin Johari
Kaherah, Mesir
15 Okt 2012

Dakwah: Kenapa Kita Asyik Di Tolak?



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


"Weyh, maaflah, aku ada hal, tak dapat datang usrah kau. Maaf ya.."

"Aku letih sangatlah semalam, kalau aku datang pastu tidur nanti tak elok pula.."

Sebagai seorang murobbi, naqib atau secara umumnya kita gelar sebagai pendakwah, pasti akan wujud rasa sedih dalam diri kita ketikamana insan-insan yang kita ajak untuk berusrah, berhalaqoh atau secara umumnya kita katakan membuat usaha kebaikan, malahan ditolak, diberikan alasan dan macam-macam lagi yang membawa konklusi akhir iaitu, "Dia tak datang.."

Sedih itu wajar. Kerana itu Allah SWT telah awal-awal lagi mengingatkan kepada kita bahawa, 


وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ 

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."

[QS Ali 'Imran, 3:139]


Kalau kita perhatikan lagi di dalam muka surat lain daripada surat cinta Allah kepada hamba yang membacanya,


فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

"Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu karena bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Qur'an)."

"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya."

[QS Al-Kahf, 18:6-7]


Dakwah atau seruan kita ditolak? Itu biasa. Dakwah kita difitnah sesat, tidak ikut syariat, tiada ustaz yang mursyid? Itu biasa. Orang kata kita ini syadid, keras, tidak mengikut waqi'? Itu biasa.

Yang luar biasanya ialah ketikamana kita masih juga dapat bertahan dan terus berusaha mencari benih yang baik untuk ditanam agar tumbuh menjadi pohon yang baik lagi rendang dan manfaatnya. Itu luar biasa! Ketikamana manusia lain berlumba-lumba dan saling tolong menolong untuk menebang dan mambaling batu kepada kita, kita malahan membalas perbuatan makarmereka dengan buah-buahan yang enak dan senyuman yang manis. Itu.. Luar biasa..

Kerana itu memang hakikatnya. Untuk mencari manusia yang akan membantu dan berkorban bersama-sama kita untuk mengajak manusia mengenal islam dan iman, ternyata itu sangatlah amat susah. Tetapi, untuk mencari mereka yang hendak menghalang usaha dakwah, tidak perlu dicari! Mereka akan datang sendiri. Yang lebih menyedihkan lagi apabila yang menghalang, mengfitnah dan memburuk-burukkan kita itu kadang-kadang ada title "ustaz" dan graduate dari Timur Tengah dan sebagainya, dengan alasan yang kadang-kadang tidak boleh diterima akal, "kerana kita bukan daripada jemaah mereka!"

Macam-macam..

Jadi, biasalah itu dakwah ditolak..


“Ditunjukkan padaku berbagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua orang pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada sepuluh orang). Adapula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. 

[HR Bukhari dan Muslim]


Kalau kita perhatikan kata Rasulullah SAW ini, ada nabi yang tiada pengikut! Takkanlah seorang nabi tidak berdakwah sampai tiada pengikut? Seseorang yang dapat wahyu secara langsung daripada Allah SWT. Tapi, kenapa dia tiada pengikut? Ana yakin bukan kerana dia tidak berusaha, tapi kerana masyarakat yang tidak mahu.

Namun tiada seorang nabi pun yang mengubah prinsipnya kerana inginkan pengikut. Sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s. seperti yang dirakamkan oleh al-Quran dalam surah Nuh.



Cuma akhi.. Itu semua faktor eksternal. Kita perlu mengoreksi dan mengintrospeksi kembali diri kita dengan lebih dalam untuk mencari apa sebenarnya punca masalah kita, "Kenapa dakwah kita ditolak?"

Kenapa kadang-kadang kita lihat ada orang yang gagap, tidak belajar agama, tidak pernah hadiri dauroh skill, dan macam-macam lagi kekurangan yang dia ada, tetapi begitu ramai mad'u mutarobbi yang begitu rindu kepada dia?

Kenapa kadang-kadang kita lihat ada orang yang gagah, tinggi ilmu agama, dna macam-macam lagi kelebihan yang dia ada, tetapi ramai orang yang membenci atau tidak terkesan apabila duduk bersama mereka?

Ketika saya menyelak beberapa buku untuk mencari masalah sebenar kenapa usaha dakwah saya tidak menjadi seperti saya duduk di Malaysia (walaupun tidaklah hebat manapun~ haha), saya menjumpai satu kata sepakat daripada dua orang penulis yang sangat terkenal dengan prestasi dakwah dan tarbiyah mereka iaitu Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan Muhammad Abduh. Mereka secara tidak langsung sepakat meletakkan kunci pertama dalam keberhasilan dakwah yang kita usahakan ini akan sangat tergantung kepada kekuatan Iman! Iman yang ampuh, tidak tergoda dengan kemasyhuran, kesibukan dunia, kekayaan, wanita dan macam-macam lagi!

Syeikh Muhammad Abduh dalam bukunya "Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah", membahagikan suatu pergerakan dakwah itu kepada dua dimensi. Satu, dimensi iman. Yang kedua, dimensi kerja. Apabila suatu usaha dakwah itu tersangkut atau gagal, maka setiap murobbi, ikhwah, akhwat atau qiyadah perlu memerhatikan kembali dua dimensi ini dalam setiap ikhwah dan akhwat yang ada. Kehilangan ruh di salah satu dimensi ini akan menyebabkan dimensi yang lain tidak dapat melakukan fungsinya dengan baik, maka wajarlah satu usaha dakwah itu gagal.

Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi pula menggambarkan dalam bukunya, "Aku dan Ikhwanul Muslimim", bagaimana para ikhwan yang ditangkap, diseksa dan ditekan oleh pemerintah pada zaman awal-awal dakwah mereka ialah mereka yang sentiasa berfikir bagaimana hendak beriman pada Allah baik dalam keadaan bebas atau dipenjara. Sebelum mereka memasuki penjara, mereka tidak berfikir bahawa Allah telah menzalimi mereka atau memikirkan cara untuk lari dari penjara atau membunuh presiden dan sebagainya. Tetapi, yang mereka fikirkan ialah "BAGAIMANA MAHU MENGUBAH PENJARA MENJADI MASJID?".

Menjadikan mereka semakin kuat dan kuat hinggakan wajar sahaja fikrah dakwah mereka tersebar hampir ke seluruh pelusuk dunia, menggegarkan kebatilan dan memancarkan kebenaran dalam hati-hati manusia yang dahagakan identiti Islam.

Dimensi kerja? Sebagai pelajar perubatan, kejuruteraan dan macam-macam lagi bidang profesional yang kita lalui sekarang ini, saya yakin bahawa dimensi kerja bukan merupakan masalah utama kita yang menyebabkan kenapa kita ditolak, akal dan tahap IQ kita boleh berfikir dengan sangat baik untuk merancang dan berbuat. Tetapi saya yakin masalahnya terletak pada DIMENSI IMAN.

Seterusnya, saya terbaca juga sebuah hadith yang membuatkan hati saya menangis.. Saya merasakan inilah punca utama, kenapa usaha kita tidak membuahkan hasil. Kerana ALLAH BENCIKAN KITA.


"Sesungguhnya Allah jika mencintai seorang hamba. Ia akan mengatakan kepada Jibril, 'Aku mencintai seseorang, maka cintailah orang itu!' Jibril pun mencintainya. Setelah itu, dia bahkan menyeru penduduk langit, 'Allah telah mencintai seseorang, maka cintailah orang itu!' Penduduk langit pun mencintai orang itu. Kemudian ditempatkanlah rasa cinta pada dirinya dalam hati penghuni bumi. Jika membenci seseorang, Allah juga akan mengatakan kepada Jibril, 'Aku membenci seseorang, maka bencilah orang itu!' Jibril pun membencinya. Dia pun lantas menyeru penduduk langit, 'Allah telah membenci seseorang, maka bencilah orang itu!' Penduduk langit pun membencinya. Setelah itu, baginya diletakkan rasa benci pada dirinya dalam hati manusia di bumi."

[HR Muslim]


Ikhwah dan akhwat yang dikasihi, apabila Allah membencikan kita, maka kebencian Allah itu akan menjalar hingga kepada Jibril sampai ke penduduk langit dan bumi semuanya.

Hinggakan dakwah kita susah untuk diterima, tawaran kita lebih mudah ditolak, kata-kata kita hanya hebat dari segi fakta dan nada tetapi tiada ruh yang menghidupkan hati.

Kenapa Allah bencikan kita? Kerana antaranya kita sering berkata-kata, tetapi kita tidak melakukannya.

Kita hidupkan hati manusia lain, tapi hati kita tidak pernah kita hidupkan. Kita bersihkan dosa manusia lain, tapi dosa kita tidak pernah kita bersihkan. Kita sibuk memikirkan perubahan dalam diri manusia lain, tapi perubahan dalam diri sendiri tidak pernah kita usahakan.

Kita sibuk berkata, berfikir dan berbuat untuk orang lain. Tetapi, untuk diri kita sendiri tiada. Ini belum cerita tentang masalah dosa dan maksiat yang menjadi rutin dalam kehidupan kita!

Sedangkan, kita selalu baca ayat ini..


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

"Mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?"
"Itu sangatlah amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."

[QS As-Saff, 61:2-3]


Akhir kata

Cuba kita nilai kembali diri kita. Kenapa Allah SWT masih lagi menangguhkan kemenangan dan pertolongannya pada diri kita? Kerana mungkin memang kita masih lagi tidak layak untuk menjadi insan yang mulia untuk mengemban tanggungjawab dakwah yang hanya akan dipikul oleh mereka yang mulia.

Kepelbagaian fikrah dan jemaah, kerosakan mentaliti masyarakat, skill kita dalam berinteraksi dengan manusia dan macam-macam lagi faktor eksternal itu memang saya akui merupakan sebahagian yang menyebabkan kita kadang-kadang gagal.Tetapi, kita kena ingat bahawa yang mewujudkan rasa benci dan cinta itu ialah Allah. Bukan mereka.

Ayuh, kita baiki semula dimensi iman kita, dan terus memantapkan lagi dimensi kerja kita. Sama-sama kita kembali ikhlaskan niat kita dalam berdakwah, dan kemudiannya bermujahadah dalam membinca dimensi iman dan dimensi kerja kita untuk kemenangan agama Allah ini. Kemudian kita sama-sama istiqomah dan sentiasalah menadah tangan untuk berdoa kepada Allah.

Semua orang layak untuk menjadi murobbi. 

Cuma lambat atau cepat sahaja masalahnya. Bagaimana mahukan manusia cintakan kita? Maka binalah hubungan cinta kita kepada Pemilik Cinta! Insya-Allah, mata rantai dakwah ini akan mula lestari.


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ
ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ 

“Katakanlah: ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Dan, Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani”

[QS Ali ‘Imran, 3:31]


Mohamad Khir bin Johari
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams, Mesir