RSS

Thursday, February 7, 2013

purdah dan niqab, adakah sekadar fesyen?


Entri kali ini penulis berasa terpanggil untuk membicarakan perkara yang berkaitan serba sedikit mengenai purdah / niqab / penutup muka dan sebagainya yang kini kian menjadi tarikan terhadap para wanita untuk mengamalkannya.
Sebelum meneruskan apa jua pandangan dan kritikan, ingin sekali penulis ketengahkan ayat-ayat Al-Quran sebagai pemula bicara. Moga hati-hati yang membacanya dapat menela'ah apa yang tersirat pada setiap tafsiran ayat ini. 
"Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Ahzab ayat 59)
Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu berkata,
"Allah memerintahkan kepada isteri-isteri kaum mukminin, jika mereka keluar rumah kerana suatu keperluan, hendaklah mereka menutupi wajah mereka dengan jilbab daripada kepala mereka. Mereka dapat menampakkan satu mata saja."
(Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan bahawa perawi riwayat ini dari Ibnu Abbas adalah Ali bin Abi Thalhah yang tidak mendengar dari ibnu Abbas. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/513)
Manakalah Qatadah berkata tentang firman Allah ini (QS. Al Ahzab: 59),
"Allah memerintahkan para wanita, jika mereka keluar (rumah) agar menutupi alis mereka, sehingga mereka mudah dikenali dan tidak diganggu." 
(Riwayat Ibnu Jarir, dihasankan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/514)
Kemudian diriwayatkan Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu berkata,
"Wanita itu menghulurkan jilbabnya ke wajahnya, tetapi tidak menutupinya." 
(juga Riwayat Abu Dawud, Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan: Hasan Shahih. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/514)
Abu 'Ubaidah As-Salmani dan lainnya mempraktikkan cara menghulurkan jilbab itu dengan selendangnya, iaitu menjadikannya sebagai kerudung, lalu dia menutupi hidung dan matanya sebelah kiri, dan menampakkan matanya sebelah kanan. Lalu dia menghulurkan selendangnya dari atas (kepala) sehingga dekat ke alisnya, atau di atas alis. (Riwayat Ibnu Jarir, dishahihkan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/513)
As-Suyuthi berkata,
"Ayat hijab ini berlaku bagi seluruh wanita, di dalam ayat ini terdapat dalil kewajipan menutup kepala dan wajah bagi wanita."
(Lihat Hirasah Al-Fadhilah, hal 51, karya Syaikh Bakar bin Abu Zaid, penerbit Darul 'Ashimah)
Perintah menghulurkan jilbab ini meliputi menutup wajah berdasarkan beberapa dalil:
1. Makna jilbab itu sendiri di dalam bahasa Arab adalah: Pakaian yang luas yang menutupi seluruh badan. Sehingga seorang wanita wajib memakai jilbab itu pada pakaian luarnya daripada hujung kepalanya turun sampai menutupi wajahnya, segala perhiasannya dan seluruh badannya sampai menutupi kedua hujung kakinya.
2. Yang biasa nampak pada sebahagian wanita jahiliah adalah wajah mereka, lalu Allah perintahkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam serta isteri-isteri orang mukmin untuk menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka. Kata idna' (pada ayat tersebut يُدْنِينَ -ed) yang ditambahkan huruf (عَلَي) mengandungi makna menghulurkan dari atas. Maka jilbab itu diulurkan dari atas kepala menutupi wajah dan badan.
3. Menutupi wajah, baju, dan perhiasan dengan jilbab itulah yang difahami oleh wanita-wanita sahabat.
4. Dalam firman Allah: "Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu", merupakan dalil kewajipan hijab dan menutup wajah bagi isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, tidak ada perselisihan dalam hal ini di antara kaum muslimin. Sedangkan dalam ayat ini isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam disebutkan bersama-sama dengan anak-anak perempuan beliau serta isteri-isteri orang mukmin. Ini bererti hukumnya mengenai seluruh wanita mukmin.
5. Dalam firman Allah: "Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu." Menutup wajah wanita merupakan tanda wanita baik-baik, dengan demikian tidak akan diganggu. Demikian juga jika wanita menutupi wajahnya, maka lelaki yang rakus tidak akan berkeinginan untuk membuka anggota tubuhnya yang lain. Maka membuka wajah bagi wanita merupakan sasaran gangguan dari lelaki nakal/jahat. Maka dengan menutupi wajahnya, seorang wanita tidak akan memikat dan menggoda lelaki sehingga dia tidak akan diganggu.
(Lihat Hirasah Al-Fadhilah, hal 52-56, karya Syaikh Bakar bin Abu Zaid, penerbit Darul 'Ashimah).

Alhamdulillah di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap seluruh muslimah di atas muka bumi ini kerana bilangan kamu semakin bertambah dan semakin berkembang.
Pembudayaan berpurdah semakin menjadi popular dewasa ini setelah pereka fesyen busana muslimah dengan rela hati mengambil purdah sebagai trademark terhadap rekaan fesyen mereka. Itu merupakan antara halnya yang berkaitan fesyen terkini akan tetapi apa yang penulis ingin kongsikan bersama bukanlah berkenaan fesyen berpurdah akan tetapi sejauh mana pengunaan purdah itu mampu menjadikan seseorang muslimah itu anggun dari segi imannya, akhlaknya dan perwatakannya sebagai srikandi Islam yang asli.
Apabila ditanya " Kenapa berpurdah?" kepada muslimah yang telah menggamalkan pemakaian purdah maka terdapatlah pelbagai jawapan yang kadangkala enak di dengar dan adakalanya berasa jelek dan tertanya-tanya dengan jawapan yang diberikan oleh penggamal purdah. Antara jawapan yang dapat dikongsi bersama adalah :
" Saya pakai purdah sebab tertarik dengan kawan-kawan yang pakai purdah."
 " Pakai purdah membuatkan saya lebih yakin diri untuk berhadapan dengan masyarakat."
 " Nampak cantiklah pakai purdah, sebab tu saya tertarik untuk berpurdah."
 " Benda nie susah nak ceritalah ustaz, maybe lebih kepada gerak hati kot."
" ... dah budaya sekeliling ramai yang berpurdah, so saya ikut jelah."
" Ramai kata lebih selamat dari gangguan lelaki kalau kita berpurdah."
 " Lebih muslimah sikit kalau berpurdah ustaz."
Walau apa pun jawapan yang terpacul dari mulut muslimah yang berpurdah ianya tidak menjadi masalah kerana mereka telah pun berjaya mempamerkan kelainan dan perbezaan di antara wanita muslimah dan wanita kebanyakkan lainnya. Tahniah diucapkan kepada seluruh muslimah yang berpurdah dan bersyukurlah kerana anda berjaya membawa perwatakan muslimah yang lebih jitu di dalam kehidupan seharian anda.
Cumanya ada beberapa perkara yang penulis ingin titik beratkan kepada seluruh muslimah yang berpurdah, ianya berkaitan niat anda dalam pemakaian purdah. Niat yang berlegar dihati setiap manusia tidak akan dapat diketahui sepenuhnya oleh makhluk dan ianya hanya terletak di bawah pengetahuan Tuan kepada makhluk iaitu Allah Azzawajalla.
Apabila menyebut perkataan NIAT ini, penulis teringat dengan beberapa jawapan dari pemuda-pemuda amnya setelah diajukan persoalan " Agaknya mengapa wanita berpurdah? ", antaranya :
 " Sebab dia lawa la yang dia pakai purdah, takut muka dia yang cantik tu menjadi fitnah terhadap mata-mata lelaki yang memandang."
 " Muka tak lawa la tu. Lau pakai purdah nampak cun sikit yer dak ustaz, ke camne? ".
" Ikut-ikut member la tu. Balek mesia kang kompem tak pakai dah."
" Fesyen bos."
" Rasa best sangat la kot pakai purdah."
 " Lantak diorang la nak pakai purdah, bukan kaco hidup ku pon. Hak diorang, pedulikanlah."
Pedulikan apa sahaja kata pemuda-pemuda tentang diri anda yang berpurdah. Anda yang mengetahui apa yang terkandung di dalam hati anda. Cuma perlu diingatkan, memakai purdah bukan sekadar ikut-ikutan, ingin menutup kelemahan diri atau demi panggilan fesyen yang pastinya tidak akan berkesudahan.
Ikhlaskanlah hatimu Lillahi Ta'ala agar pengamalanmu boleh dikira pahala di sisi Allah dan moga-moga dengan niat yang ikhlas itu kelak mampu untuk menuntun dirimu ke syurga. Maka bagi pemakai purdah yang sebelum ini tersasar jauh dari niat yang ikhlas Lillahi Ta'ala mari bersama perbaharui niat yang lama kepada niat yang baru
" Sungguh aku memakai purdah ini semata-mata mengharap redha Allah SWT kerana aku ingin mendekatkan diri kepadaNya."
Setelah niat diperbaharui perlu ada beberapa lagi ciri yang perlu anda penuhi bagi mencapai tingkat sebenar sebagai seorang pemakai purdah, antaranya :
1. Santun dan tegas dalam berbicara.
2. Tidak melirikkan mata dalam apa jua keadaan.
3. Jangan tabarruj dalam menghiasi mata.
4. Merasakan diri masih banyak kekurangan.
5. Menghindar body language.
6. Lebih ramah sesama wanita lain.
7. Hindar sifat merasa diri mulia.
8. Menggelak dari menutur kalam lagha / berjidal.
9. Mengorbankan diri dalam dakwah dengan lebih konsisten.
10. Berakhlak dengan akhlak sebenar seorang muslimah.

Begitulah di antara beberapa ciri yang boleh dijadikan panduan kepada pemakai purdah. Apabila anda telah menyarungkan purdah ke muka anda maka bertimpa-timpalah bebanan kerja yang wajib anda pikul dengan berhati-hati agar ianya tidak bertaburan dan keciciran. Dan yang paling penting agar ianya tidak menjadi fitnah ke atas Islam itu sendiri.
Sekiranya anda tertinggal salah satu di antara ciri-ciri yang penulis sebutkan tadi maka boleh dikatakan secara automatiknya anda tidak lagi bergelar srikandi yang membawa imej Islam akan tetapi anda akan bertukar menjadi virus perosak kepada imej Islam yang mulia.
Semoga apa yang diperkatakan penulis ini dipandang sebagai satu perkongsian dan moga-moga ianya tidak dianggap ancaman oleh seluruh warga muslimah yang berpurdah. Semoga anda yang berpurdah berjaya menyelami hakikat kemanisan iman dan juga berjaya menggapai tingkat cinta dan sayangkan Allah serta Rasulullah SAW.
Wallahu wa Rasuluhu a'lam..

terima kasih wahai hati


Dengar ya wahai hati
Aku tahu rasa sakit ini
Sukar untuk diungkap dengan kata-kata
Malah, rasa sakit itu jugak tidak boleh diungkap
Dengan contengan di atas lembaran kertas sahaja
Dan lebih teruk lagi apabila hati itu
Sudah diminta untuk berhenti berfungsi
Parah
Duhai hati yang rawan
Aku tahu apa pun yang cuba ku lakukan
Sekali kata-kata orang terkesan dihati
Kau akan selama-lamanya berbekas
Bukan tidak pernah aku cuba kikis
Tetapi memang itu cara hidupmu
Mudah memaafkan perlakuan orang
Tetapi sukar melupakan.
Dengar ya wahai hati
Aku tahu
Andai saja hati itu boleh di'scan' dengan mata kasar
Kau lah anggota yang sarat dengan duka
Berbanding anggota-anggota yang lain
Penuh dengan torehan, luka dan parut
Namun ku tetap yakin
Engkau terlaku kuat dan tabah..
Wahai hati
Aku bersyukur kerana punya hati sepertimu
Itu kerana kau tidak pernah berhenti berfungsi sekali pun
Kau tetap terus bergerak walau hanya dengan bertatih
Itulah engkau HATI
Setiap kali disakiti, ditikam, dicucuk, disagat, dan disayat
Kau tetap terus berfungi untukku
Hanya untuk aku
Hati...
Bagaimana caranya agar ku bisa merawatmui?
Guna plaster kah?
Guna Gunting kah?
Atau Guna iodine kah?
Jika guna plaster,  luka besar boleh diplasterkah?
Jahit guna benang, takut akan meninggalkan parut
Jika guna iodine, nantinya kuning hati itu
Tidak cantik seperti orang lain yang merah
Alhamdulillah hati...
Allah ajarkan padaku
Agar sentiasa redha selalu
Allah beri perhatian padamu dengan diuji
Wahai hati...
Percayalah, walau dirimu penuh luka
Tapi cukup engkau tidak bersangka-sangka
Pada Tuhan yang menciptakan mu
Juga yang menciptkanku
Sungguh benar hati...
Ujian itu wasilah untuk kita
Agar sentiasa ingat pada yang Esa...
Anas berkata, Rasulullah bersabda:
"Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)

SEBUAH KEFAHAMAN

afwan kerana sudah lama tidak menitipkan tulisan di sini. Pembikinan website baru sendiri mengambil masa dan banyak juga amanah lain yang perlu diutamakan. 

Apa yang saya fahami di Malaysia ini adalah, apabila medannya terlalu banyak untuk dicapai, tenaga kita sendiri akan menjadi terpecah. Namun jauh di sudut hati kita, kita tahu kita perlu terus beramal dan berbuat. Tanpa kita berfikir bagaimana untuk buat.

Berada di Malaysia sendiri menjadikan terkadang saya merasa down melihat keadaan diri sendiri yang jauh lebih rendah berbeza dengan teman seangkatan mahupun adik-adik yang tinggi himmahnya di dalam dakwah.

Sehinggakan saya bertanya pada diri sendiri, apakah Malaysia lebih mudah mencalitkan dosa dan maksiat sehinggakan merasai bahawa berkorban untuk dakwah itu amat berat?

Namun pada saya, di Malaysia ini , cabaran paling utama adalah penyusunan prioriti. Semua perkara kena buat, tapi manakah satu yang perlu diutamakan. Begitu juga keutamaan itu akan disusun mengikut kefahaman.

Tapi bagaimana kefahaman itu dapat dibina jika terkadang para muwajih dan murabbi sendiri ketika mengisi daurah , seolah-olah memberikan ceramah umum, tanpa ada taujihaat kefahaman, dan kader dakwah masing-masing memberi neraca dan buah fikirannya tersendiri ketika menerima masukan ilmu.

Kerana itulah, jika kita benar-benar mahu memahami dakwah ini, kita perlu berguru dengan murabbi yang mampu mengarahkan kita dan memberikan kita fiqh/kefahaman pada dakwah semasa kita. Tentang langkah yang perlu dibuat, tentang kerjaya, tentang medan amal, tentang sumbangan dakwah dan lain-lain.

Apabila kita mula membuat pilihan sendiri, tanpa berbincang dan bertanya pendapat, acapkali kita akan tersilap langkah dan kesal di kemudian hari.

Dan memang, di Malaysia ini, amat mudah untuk kita buat pilihan sendiri dan buat kerja sendiri-sendiri.

Dan saya sendiri mengalami masalah ini.

Begitulah,

kehebatan seseorang itu di medan dakwah, bukanlah pada kehebatan oratornya.

Bukan pada keberadaannya di setiap program mahupun tempat.

Ataupun seorang yang dikenali kerana selalu ke hadapan memberi sumbangan.

tetapi kehebatan itu ada pada kefahamannya.

DAri kefahaman itu dia akan ikhlas.

Dari keikhlasan itu, dia akan beramal sesuai dengan masa dan tempat, akhirnya memberikan hasil luar biasa sekali.

Ibu saya selalu berkongsikan pada kami tentang kisah oranng yang berjaya dalam Petronas, mahupun mereka yang smart dalam bisnes.

I wonder, bilakah lagi masanya untuk kita bukukan kisah-kisah orang yang amat berjaya dalam dakwahnya. Ternyata, untuk berjaya dalam dakwah di Malaysia, adalah 10x lebih sukar dari luar negara.

Dan saya sendiri masih merangkak, masih berpaut dan berpapahan di dalam meraih perkara itu.

Sama-sama kita doakan ya.

Teruskan beramal dan bekerja di medan ini


SUMBER: http://muharikah.com

Tudung Labuh


Setulus bicara
Meluahkan rasa
Sehelai tudung labuh
Seindah hijab menjadi plilihanku
Suatu ketika dahulu
Diri hanya  insan biasa
Gadis yang hanya berpesonaliti biasa
Namun Hidayah-Nya
Hadir tanda kasihNya
Tudung labuh menyentuh fitrah
Membuatkan aku jatuh cinta
Pada hijab yang sempurna..
Tudung labuh sangat bermakna
Menjadi penghormatan pada diriku sebagai seorang wanita
Aku berubah bukan kerana ingin mendapat gelaran ustazah
Namun tanda cinta pada Illahi yang memberi perintah
Untuk kaum hawa menjaga aurat dengan sebaiknya
kerana itulah yang terindah dan berharga
Kadang kala
Aku kecewa
Pada sikap segelintir manusia
Hanya pandai menyindir tanpa usul periksa
Sangat susah untuk mendidik hati supaya lebih sabar dan redha
Namun ku kuatkan semangat untuk tidak berputus asa
Istiqamah dalam menjaga aurat demi keranaNya
Ya Allah.... Ya Tuhanku
Janganlah kau bolak-balikkan hatiku
Setelah Engkau memberiku Hidayah-Mu
Tetapkanlah hati ini dalam meneruskan perjuangan rasul-Mu
Dan Engkau kuatkan diri dalam mujadah nafsu
Moga Engkau redha atas segala laku

Akhi ukhti fantasia





‘ Tuhan, andai benar satu hari akan kau serahkan diriku buat seorang Adam, biarlah dia seorang yang punya fikrah yang kuat berdakwah, yang tidak redha dengan kemaksiatan, yang lincah mentarbiyyah umat, yang tidak langsung berlengah untuk menyerah harta dan jiwanya pada jalanMu, yang tenaganya tidak sedikit pun berbaki untuk dia mengejar dunia, yang hatinya tertaut pada masjid, yang malamnya hidup untukMu dalam tahajud yang menyuci jiwa, yang apabila aku memandang wajahnya, bertambah-tambah pujianku buatMu, yang apabila melihat akhlaknya, melimpah-limpah kerinduanku pada KekasihMu, dan tidurnya dalam dakap kitab suciMu kerana letih mentadabbur Al-Zikr, yang bibirnya tidak sunyi dari lantunan zikir dan hafazan surah-surah penghibur hati, yang apabila katanya penuh nasihat dan guraunya adalah sedikit kerana gentar akan kematian yang bila-bila masa sahaja menjemput.’
Mungkin kalian tidak pernah terbaca ungkapan mulus di atas. Begitu melankolis dan religious harapan si penulis buat bakal imamnya. Saya yang menaip ke huruf sekarang ini, juga tidak percaya, bahawa bait-bait puitis di atas adalah hasil gerakan jemari saya. Suatu masa dahulu..3 tahun yang lalu.April 2009.Noktah.
BAKAL IMAM SI HAWA
Seiring waktu yang berputar, selaju kaki yang melangkah, seramai manusia yang saya temui, sekali lagi, dan lagi sekali paradigma tentang wajah kehidupan itu berubah. Jika dahulu saya kenali wajah kehidupan seperti Bro Keanu Reeves lalu berubah sekejap seperti Bro Tom Cruise atau paling tidak si tampan Malaya Sdr Aaron Aziz, tetapi kini tidak lagi. Wajah kehidupan itu kadang meleper, tidak rata dan penyet tidak sempurna. Tidak seperti harapan-harapan indah yang pernah dinukilkan novel-novel romantis Islami atau di layar perak mengabadikan kisah ‘taaruf-nikah’ penuh debaran si akhi dan ukhti.
“Duhai bakal imamku…tuntunilah…santunilah…alunan zikir..tahajud cinta..”
Sedikit sebanyak begitulah kata-kata kunci ungkapan puitis yang ditulis si Hawa di laman Facebooknya atau di laman blognya. Lalu pada umur masih di pucuk rebung, saat melihat teman sekuliah erat berpegangan tangan ke hulu ke hilir dengan suaminya, makan berdua di café sambil bergaul mesra, mulalah hati menjadi tidak keruan. Menangisi nasib diri yang masih tidak dirisik lelaki ‘syurga’ untuk mententeramkan jiwa yang semakin gundah ini. Aduh, saya tidak mahu lagi menafikan, bahawa saya, saat di bangku kuliah juga pernah merasa iri sebegini.
Jika tidak, tidak mungkin ungkapan di atas pernah saya larikkan. Apatahlagi, berpasang-pasang teman seangkatan waktu itu rancak mengirim kad undangan dengan wajah penuh cinta dan bahagia. Menterjemah bahagia pada pegangan tangan, pada senyum tawa, pada menjemput dan menghantar si isteri, pada ‘gayut’ halal lewat telefon dan bergurau manja lewat SMS. Itulah saya.
BUKAN LAGI
Ibarat seorang doktor mengubati pesakit kanser, maka dia tidak perlu merasai dahulu sakitnya kanser itu sebelum layak mengubatinya. Begitu juga apabila saya kerap menulis tentang cinta dan nikah, ada yang menyindir santun bahawa selagi saya belum menikah, saya belum ‘ahli’ menulis tentang ini.  Tentang wajah kehidupan sebuah ‘Rumah Tangga’. Barangkali harga sebuah pengalaman tidak setanding dengan harga sebuah bacaan, penceritaan, penilitian atau pengamatan. Namun, memberi pandangan itu adalah kebebasan personal dan bersifat pegun. Pastinya.
Bahagia itu pada penderitaan
Tawa itu pada tangisan
Tenang itu pada taufan
Senang itu pada kepayahan

Mempercayai ungkapan di atas barangkali tidak siuman. Ibarat menterjemahkan rasa buah rambutan seperti rasa buah peria. Kontra sekali. Namun, itulah wajah kehidupan yang tidak seperti nilai matematika yang hanya satu itu jawapannya sungguhpun banyak jalan kira. Banyak antara kita yang tidak berpijak di bumi nyata, lalu mengakui bahawa yang namanya manusia adalah makhluk lemah tidak sempurna. Sehebat apa lelaki yang pada gelarannya adalah ‘Imam Muda,’ Al-Hafiz’, ‘Johan Tilawah’, ‘Vokalis Nasyid’ dan ‘Penceramah Popular’, satu ketika kita akan temukan ‘vice-versa’ yang tidak kita sangkakan. Bukan lagi suara merdu melagukan mushaf, bukan lagi sejadah yang terbentang di tengah malam, bukan lagi wajah yang menenangkan, dan lisan yang penuh nasihat seperti..err..seperti perenggan yang saya tampalkan semula di atas.
WAJAH KEHIDUPAN
Wajah kehidupan rumah tangga jauh lebih ‘indah’ daripada semua itu. Indah pada sabar dan berlapang dada. Indah pada redha dan menerima seadanya. Indah pada syukur dan tidak berbanding beza. Dan indah pada menahan air mata. Itulah rempah ratus rumah tangga yang jarang sekali disajikan dalam novel-novel dan filem-filem Islami yang semakin membiak di pasaran sehinggakan wajah kehidupan sebenar menjadi satu traumatis bagi mereka yang tidak bersedia menghadapinya. Jangan pelik kalau nanti kita merungut :
“ Hish, bukannya nak tolong mandikan anak, aku kat dapoq ni bersilat nak masak tengah hari kat dia.”
“ Eh, dah pukul 6, awat tak semayang asaq lagi..dok buat apa dari tadi depan laptop..hmm..”
“ Aku migraine, bukannya malas nak masak, nak jalan pun terhuyung hayang. Nak bawak baby dalam perut lagi, sampai hati dia kata aku pemalas..”
Inilah babak-babak ‘indah’ yang saya maksudkan. Saat di mana amarah dan sabar bertingkah. Saat di mana penyesalan dan redha bersahutan. Saat di mana maaf dan dendam bergantian. Ada satu ketika komitmen itu berjalan dengan penuh cinta, adakala ia hanya sekadar tanggungjawab semata sehingga mati rasa. Tetapi ia tidak bererti selamanya begini, kerana pada perkahwinan itu adalah proses taaruf yang yang tidak akan terhenti dan proses tafahum itu akan mengambil masa.
Tahun pertama, tahun kelima, tahun kesebelas, dan tahun kedua puluh, jangan terkejut jika anda baru mengetahui bahawa suami anda pengumpul setem tegar satu masa dahulu, saat anda mengemas stor lalu menemukan sebuah album setem miliknya. Barulah anda memahami bahawa rimasnya anda dengan sikapnya ‘suka simpan semua benda padahal tak guna’ adalah tempias daripada hobinya dahulu. Tidakkah ia satu kejutan yang lucu?
 DI JALAN CINTA PARA PEJUANG
Pernikahan itu melengkapkan diri dengan kematangan, kemahiran dan nilai-nilai hidup. Bukannya harapan-harapan berbulan madu sepanjang masa. Kerana di sebalik rencah rasa itu adalah perjuangan, perjuangan untuk mengenepikan hak demi memenuhi tanggungjawab terhadap rumah tangga. Di jalan cinta para pejuang, biarlah para novelis dan karyawan panggung memukau dunia dengan aktor-aktor pemuda ‘syurga’, dan kita adalah aktor di pentas realiti dengan keindahan kisah yang tersendiri.

from: http://muharikah.com