Tuesday, September 11, 2012
TAKDIR KASIH
“Siapa
jadi imam hari ni?”, tanya Hannan pada Raudhah. “Siapa lagi, imam awak lah,”
jawab sahabat baikku itu sambil ketawa mengekek mengusik. Merah wajah menahan
malu. “Apalah awak ni, saya mana layak untuk dia,” jawabku memberi alasan agar
Raudhah senyap walhal dia tahu peristiwa aku dikhitbah oleh “imam muda”
tersebut dan hampir setahun aku masih tidak memberi jawapan. Istikharah sudah
ku lakukan, jawapan sudah terikat kemas dalam hati namun, aku masih tidak punya
kekuatan untuk mengungkapkan “YA”.
Aku
intai dia di balik kain tirai yang membataskan bahagian muslimin dan muslimat
di musolla maahad kami. Tegas dia mengajar tajwid kepada adik-adikku. Terbayang
di imaginasi saat dia mengajar dan membimbing anak-anak kami nanti. Allah,
apalah kau ni Hannan berangan seorang diri. Sengih terkoyak di bibirku. Namun,
tidak ku nafikan perasaan ini mula bercambah sejak ku mulai membuat istikharah
setahun lalu. Adakah aku ini menguji kesabaran dia dengan mengambil keputusan
untuk berdiam diri atau aku takut. Takut untuk meletakkan kepercayaan kepada
dia.
“Mabruk
ukhti! Enti telah ditawarkan oleh Universiti Islam Madinah untuk menyambung
pengajian di sana selama 3 tahun”, ucap mudir maahad kami Ustaz Ammar.
Alhmengucapkan amdulillah, segera ku sujud syukur. Impianku selama ini akhirnya dimakbulkan
Ilahi. Ramai yang mengucapkan tahniah dan dia adalah antaranya. Segala
persiapan aku lakukan dengan penuh rapi kerana aku bakal meninggalkan maahad
kesayangan ku ini dan jarak beribu batu bakal memisahkan.
......................................................................................................................................
Ramai
sahabat baru aku kenali di sini. Penat berjalan di sekitar bandar Madinah
ditambah cuaca yang agak panas membuatku melajukan langkah. Petang kelmarin
ayah di kampung menelefon ku, ada lagi lamaran yang hadir. Aku termenung
sendirian. Ayah mengharapkan aku memberi jawapan yang positif kerana aku
sentiasa menolak semua pinangan yang hadir kecuali imam muda itu, Ustaz Uwais
yang aku minta untuk beri masa dan sampai sekarang istikharah masih ku lakukan.
Aku tanyakan pendapat pada naqibah usrah dan jawapannya agar aku segera memberi
jawapan. Ku minta pendapat ustaz-ustazah yang pakar untuk mentafsir mimpiku. Aku
ingin bina baitul muslim dan biarlah pasangan yang aku pilih ini akan
dinikahkan juga oleh Allah dengan ku di syurga kelak.
“Ustazah
Hannan kita ni sejak akhir-akhir ni asyik termenung saja. Teringatkan buah hati
di Malaysia ke?,” sapa sahabat serumah ku, Rabeah yang juga satu maahad
denganku dulu. Tersipu ku seketika. “MasyaAllah, Ustazah Rabeah, terkejut ana.
Ana sedang berfikir tentang Ustaz Uwais sebab dah dua minggu berturut-turut dia
hadir dalam mimpi ana. Enti pun tahu ana selalu tak sebulu dengan dia sejak di
maahad lagi. Tapi sekarang...ana tak faham kenapa hati ana rasa lain”, luahku
agar sahabatku yang berpipi montel dan suka tersenyum ini dapat menenangkan
fikiran dan minda yang mula berkecamuk.
“
Sahabatku Hannan, enti dah lama buat istikharah dan sekarang ana rasa, enti
harus memberikan dia jawapan. Tak baik biar dia tunggu lama-lama. Nanti
lama-lama dia diambil orang,” sambil mengeyitkan mata mengusikku. Bantal busuk
aku baling pada Rabeah, mengekek dia lari menyelamatkan diri. Allah, betulkah
ini. Aku di Madinah, dia di Malaysia. Tetapkan hati aku.
Merona
merah wajahku menahan malu. Aku khabarkan keputusan hati kepada keluarga di
Malaysia dan naqibah usrah. Jawapanku, “YA” sudah pun tiba ke telinga Ustaz
Uwais di Malaysia. Bibit-bibit bahagia mula menjelma. Alhamdulillah. “Nak ikat
berapa lama?”, terkebil-kebil aku bila soalan ini diajukan oleh ayah, Ustaz
Uwais, dan naqibah usrah. Aku hanya
mampu tertunduk. Tidak mampu memberi jawapan. Aku harus mempersiapkan diri
untuk menjadi seorang isteri solehah dan ibu yang mampu membimbing anak-anak
menjadi pejuang agama. Aku biarkan jawapan itu di tangan Ustaz Uwais. Heboh di
maahad tentang aku dan Ustaz Uwais. Ramai adik-adikku di Malaysia menelefon dan
mengucapkan tahniah.
Ramai
yang berkata, tempoh bertunang adalah saat paling getir. Kini, hanya bahagia
yang menyapa hati dan tiada duka. Ulama’
nusantara terkenal, Hamka pernah berkata, “ Cinta adalah sebahagian daripada
naluri manusia, maka alangkah baiknya jika tumbuh mengikut kewajarannya. Cinta
yang tidak terbatas itu bagaikan layang-layang terputus talinya, dalam
percintaan ada pertemuan dan perpisahan. Kehidupan ini umpama bunga maka cinta
adalah madunya”. Biarlah segalanya berlandaskan Islam, doaku dalam hati.
Aku kembali
sibuk dalam program tarbiyah dan dakwah dengan adik-adik junior ku di sini.
Pejam celik sekelip mata sudah hampir 9 bulan aku mengikat janji dengan Ustaz
Uwais. Apalah khabar dia di sana agaknya. Laju tanganku menaip namanya untuk
melihat profil Facebook dia. Ini sahajalah medium yang memberikan ku berita
tentang keadaan dia di sana. Hanya Allah yang tahu, kerjaku setiap hari adalah
melihat perkembangan profil Facebook dia dan berita dari adik-adik maahad
tentang tunangku itu. Rasa seperti mimpi, insan yang sering aku berbalah dan
berdebat akhirnya dia jadi pilihan hatiku.
“Uwais Qarni
changed his status from engaged to single”
Takkanlah
Facebook ni tipu aku. Aku gosok-gosok mata. Apa ni???...terdiam ku dan rasa
tidak berdaya. “ting..ting” jam berbunyi
menandakan pukul 2 petang. Allahuakbar, terlupa ada usrah dengan adik-adik.
Segera aku lajukan langkah menuju taman, lokasi pilihan usrah ku untuk minggu
ini. Sempat aku luahkan kegusaran hati kepada seorang sahabat, Ustaz Najmuddin
yang juga merangkap murobbiku kerana dia
adalah bekas naqib Ustaz Uwais Qarni, tunangku. “ Jangan biarkan perkara kecil
ini menghalang ukhti untuk terus fokus pada perkara-perkara besar
(tanggungjawab dakwah). Bersabarlah. Yakinlah dengan nikmat dan ujian Allah”,
kata-kata nasihatnya aku cerna dan segera ku melangkah menuju adik-adikku yang
dahagakn pencerahan.
Usrah
sudah selesai, malam ini selepas isyak ada sesi daurah dengan adik-adik junior
di masjid. Esoknya pula ada Jaulah ke Jordan bersama-sama sahabat lain dan di
sana kami akan bertemu dengan sahabat-sahabat sefikrah dan merapatkan
silaturrahim yang dibina atas dasar Islam. Aku hampir terlupa
“krisis” aku dan
Ustaz Uwais lantaran kesibukkan dan fokus ku pada program-program dakwah.
“Akak
bila nak nikah, dah tak sabar nak makan nasi minyak ni...” tanya Solehah adik
usrahku. Allahuakbar, aku hampir terlupa tentang persoalan dan krisis itu. Aku
dengan nada bergurau menjawab, “mungkin tak jadi kot dik..hehe..,” terkejut
Solehah mendengar jawapanku apatah lagi aku akhiri jawapanku dengan gelak. Pedih
kah hati ini? Ya! Memang pedih. Biarlah aku sahaja yang menanggung derita.
“akak, janganlah macam ni. Terkejut ana. Boleh lagi ketawa bagi jawapan macam
tu. Kenapa ni? Akak selesaikan baik-baik ya dengan tunang akak tu. Ana harap
dia jodoh akak.amiin..,”..senyum pahit mampu ku berikan kepada dia.
Aku
telefon orang Malaysia. Khabar yang aku terima daripada adik-adiknya sebagai
orang tengah, “ Ustaz kata, dia sendiri akan terangkan segalanya nanti,” umpama
putus nyawa aku mendengar. Dia biarkan aku tertanya-tanya. Allah, bukan mudah
untuk aku memberikan kepercayaan kepada dia, jangan biarkan kepercayaan itu
musnah..kerna aku takut aku tak mampu merawat hati yang telah dicuri dan
mungkin hancur kerana dia...
Aku
sibuk berdakwah dan tanpa sedar aku telah berdakwah kepada insan yang punyai
niat lain. Keselamatanku terancam. Rumahku diperhatikan saban hari. Aku
berdakwah kepada seorang wanita, tetapi tidak aku ketahui yang dia boleh
terjatuh hati kepadaku. Tersilap tafsir atas segala bantuanku dan keprihatinan.
Dia jadi begitu lantaran kecewa dengan bekas suaminya yang suka mendera dan
curang. Dia mula hilang percaya pada lelaki. Dia mula bertindak agresif dan
menunjukkan tanda yang dia amat cinta dan sayang padaku. Sahabat-sahabat mula
risau dan memindahkan aku ke suatu tempat demi keselamatanku. Berita ini aku
khabarkan pada Ustaz Uwais, aku takut dan fobia. Aku harapkan bantuan hadir dan
alhamdulillah sahabat-sahabat amat menjagaku.
Sudah
sebulan aku berpindah ke tempat baru ini. Ustaz Uwais, langsung tidak memberi
respon malah langsung tidak hiraukan aku. Banyak persoalan tercetus tetapi
tiada jawapan. Aku faham kerana ingin menjaga tetapi hati sedikit tersayat
apabila muslimin yang pernah aku tolak lamarannya menjadi tunjang utama dalam
memastikan keselamatanku dan sering mengutus berita tentang keselamatanku
kepada keluarga di kampung. Serba salah jadinya aku. Aku tahu dia ikhlas.
Raya
kali ini aku pulang ke Malaysia. Keluarga sibuk bertanya tentang bakal menantu
mereka. Aku hanya menyampaikan satu pesanan ringkas SMS kepadanya, “
assalammualaikum. Asif menggangu ustaz. Keluarga ana jemput ke rumah sempena
hari raya dan kenal dengan saudara mara ana yang lain. Jzkk”,aku harapkan dia
memberi respon. Ku pujuk hati. Sudah masuk minggu ketiga syawal, aku pun akan
berangkat ke Madinah tidak lama lagi. Resah hati menanti dia yang tidak kunjung
tiba. Keluargaku mula mempersoalkan tentang “kami”. Hanya diam sebagai jawapan.
“Dulu,
setahun lebih dia boleh setia dengan lamarannya kepada ana, sanggup tunggu dan
bersabar untuk dapat jawapan dari ana tetapi kenapa bila sudah ikat janji, dia
buat begini pada ana. Apa salah ana. Ana tak larat nak main tarik tali lagi.
Ana jauh. Ana tak tahu keadaan dia. Andai dia ada pilihan yang lebih baik,
utuskan berita, sampaikan. Jangan buat ana begini. Menanti tanpa kepastian..”,
habis basah bahu sahabatku Raudhah. Segala rasa hati aku hamparkan. Bukan mudah
untuk aku terima dia, mencuri takhta istimewa dalam hatiku. Diam dia, bisu dia,
menambah pedih di hatiku.
Aku
sudah kembali ke bumi Madinah. “Tunang” orang..masih validkah status itu atas
diriku? Di keheningan malam, berlabuh sayu doaku....
Apakah ini takdir kasih aku dan dia
Pinjaman rasa mawaddah yang tercipta itu nikmat yang tidak terkata
Diam dia, kebisuan dia umpama racun dalam diriku
Ya Allah, jika benar dia bukan untukku...mudahkan aku buang rasa cinta
ini
Aku juga ingin bahagia walau tanpa bersamanya
Jika dulu aku sibuk menyiapkan diri untuk menjadi suri rumah di baitul
muslim kami
Tetapi kini aku sedang menganyam dan mencari kembali sisa-sisa kekuatan
dan pasrah
Sebagai bukti cintaku sebagai hambaMU atas setiap takdir yang bakal Kau
titipkan
Moga aku tabah...amiin..
“Apa
pun yang akan terjadi, kami harap akak kuat dan terus kuat”, mesej daripada
adik-adikku di Malaysia menyentap tangkai hati yang sedia terluka. Inikah
takdir kasih kita? Bukan mudah untuk ku anyam rasa cinta dan mawaddah ini,
sebegitu lama ku ambil masa untuk anyam ia dan untuk ku rungkai kembali apakah
mustahil...mungkin seluruh hidupku mampu merungkai ikatan itu...
Putus
tunang. Orang sering memandang ustazah sepertiku ini kuat dan tiada masalah.
Hanya aku dan Allah yang tahu. Ya, memang aku bercinta dengannya tetapi rasa
rindu dan cintaku padanya, aku labuhkan kepada Allah, cinta teragung. Dia yang
hadirkan dan hanya pada Dia kekuatan untuk ku berdiri teguh di atas ikatan
pertunangan ini. Jika aku tiada iman, mungkin Ustaz Uwais sudah aku serang
seperti pasangan lain. Namun, iman dan kecintaan yang lebih kepada ALLAH
membuatku untuk terus bersabar...ya Allah, timbul persoalan di hati..sampai
bila aku harus menanti....
Posted by ummul mujahidah_90 at 8:28 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment