RSS

Monday, December 20, 2010

KEMBARA HIJRAH

Hidup ini merupakan pinjaman Allah swt semata-mata yang mana tempat persinggahan ini merupakan ladang tanaman amalan, hasilnya akan kita bawa ke akhirat. Usia,rezeki, jodoh dan ketentuan takdir semuanya telah pun tercatat di luh mahfuz dan kita sebagai hamba tugasnya harus menerima dan terusan redha tanpa mengeluh sedikit pun kerana nikmat yang diberi berbanding ujian yang sering diterima lebih besar ibarat kuman dan seisi dunia, sangat kecil dan paling besar sudah jelas jauh perbezaannya.

“ Mengapa aku diuji? ”, acapkali kita sendiri mahupun sahabat-sahabat kita mengeluh tatkala ujian dan dugaan menghampiri hidup ini. Saat itu betapa kita telah lupa dan lalai dalam menafsir metafora kehidupan yang sudah pun dijanjikan dengan ujian dan kebahagiaan. Kita juga mungkin semakin lupa dengan segala nikmat yang pernah diterima dan berkeluh kesah saat ujian yang setitik merubah kehidupan. Sedarilah tika itu mungkin saja hati kita telah pun berprasangka buruk kepada al-Malik sedangkan Dialah yang memberi kita rasa bahagia dan pelbagai nikmat namun pengakhirannya apabila hakNYA diambil kembali kita seolah-olah tidak redha dengan apa yang berlaku.

Cari contoh statistic pembuangan bayi atau kelahiran anak luar nikah di internet

Teknologi, arus kemodenan dan zaman milenium tidak dapat menjana pemikiran manusia di tahap kecanggihan yang kita miliki sekarang. Bukti? Pastinya pelbagai bukti kita dapat lihat sekarang seperti gejala-gejala sosial yang turut tidak kurang hebatnya dengan pembangunan kemajuan negara. Statisitik kemajuan yang dialami mungkin sahaja selaras mahupun lebih pantas meningkat berbanding pertumbuhan ekonomi dunia. Malah lebih menyedihkan pabila ramai pihak tampil bersuara namun tiada tindakan yang dilakukan seperti tin kosong yang kuat berbunyi namun isinya tiada. Terbaru paling mengejutkan apabila pihak jabatan agama sendiri harus membawa bersama anggota polis ketika ingin menangkap remaja-remaja yang berkhalwat dan jika tidak mereka mungkin saja bisa didakwa malah disaman. Bukan niat saya ingin menegur sistem undang-undang Negara namun segala kebejatan masalah sosial yang melanda ini pokok pangkalnya kepada bagaimana kita menyelesaikannya, jika di kaca televisyen dan majalah begitu banyak sekali pendedahan terhadap hiburan yang melampau, contoh-contoh berpakaian seperti tidak memakai baju layaknya, pergaulan tanpa sempadan seperti internet yang tiada sempadan dan pemikiran yang dicorak akhirnya melahirkan penyakit al-wahn(cintakan dunia dan takut mati).

Di hati ini hanya Tuhan yang tahu sepotong lirik daripada salah satu lagu nasyid kumpulan UNIC membuat saya terpana seketikan akan maksud tersiratnya betapa hati dan niat itu Allah yang mencipta dan hanya Dia yang mampu membacanya. Manusia tetap manusia walaupun betapa kejam dan banyaknya dia melakukan maksiat, mereka tetap manusia yang miliki hati dan perasaan seperti manusia yang lain. Mungkin kita pernah terbaca di dada akhbar berkenaan jawapan-jawapan yang diberikan oleh remaja yang terlibat dengan kehidupan yang berlandaskan nafsu terhadap apa dikerjakan selama ini. Jawab mereka:

"bukan kami tak nak jadi baik, kami nak..kami nak masuk syurga..tapi kami jahat..
alang-alang dah buat jahat, biar sampai masuk neraka"

"keluarga pun dah tak nak terima kami.Masyarakat mula menyisihkan kami. Kami hina di mata mereka, kami tak layak untuk berdiri satu barisan bersama pak imam, tak layak nak bersalaman dengan pak lebai"

"ayah dan mak dah tak nak tengok muka saya lagi. Mereka malu atas perbuatan saya. Kekasih saya lari meninggalkan saya dan anak yang saya kandungkan, mak tak nak mengaku saya ni anak dia. saya dah tak suci, saya dah tak ada apa-apa.."

Inilah antara jawapan-jawapan “mereka”. Acapkali kita melihat dan menonton berita-berita di kaca televisyen berkaitan masalah-masalah pemuda pemudi negara namun saya semakin pelik apabila rakyat kita seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Keegoan dan sikap keakuan telah membantut dan mencantas nilai harmoni dalam diri manusia yang ingin berhijrah ke arah yang lebih baik. Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah sebegini yang dipaparkan untuk tatapan kita, untuk dijadikan teladan, bukannya ikutan akan tetapi, yang menghairankan saya semakin banyak kisah sebegini didedahkan kepada masyarakat maka, masyarakat seharusnya sedar dan menjadikannya sebagai iktibar, memulakan langkah untuk mendidik anak-anak kecil yang masih bersih fitrahnya, memantapkan pendidikan bagi anak-anak yang sudah mulai dewasa, dengan pelbagai pengisian agama, agar tidak mengikut jejak langkah "mereka" itu namun sebaliknya pula yang terjadi.

Semakin diselusuri semakin pincang masyarakat kita kerana daripada kes-kes yang kita anggap remeh-temeh sehinggalah yang membawa kepada tali gantung semuanya dipandang sepi dan bisu oleh masyarakat kita khususnya melayu. Malah, mereka seakan berlumba-lumba untuk mencari publisiti murahan, memenuhi dada-dada akhbar, gembira melihat wajahnya ditayangkan di kaca televisyen, tersenyum megah kerana dia dikenali ramai, namanya menjadi bualan di sana- sini kerana terbabit dengan kes RASUAH, BUNUH, ROGOL, dan tidak kurang juga yang sibuk memenuhi lebuh raya, merempit sana sini tidak tentu hala, kononnya hendak mati di JALAN YANG LURUS. Belum termasuk lagi kes-kes HARUAN MAKAN ANAK, pelajar SEKOLAH AGAMA buang anak, di tambah lagi dengan masalah politiknya, dan bermacam- macam jenis 'penyakit' lagi yang kini sedang menular di kalangan masyarakat kita, di mana kelajuan penularannya mengalahkan penularan virus H1N1.

Duhai bangsaku,

Kalian lebih memilih lorong yang sempit berbanding jalan yang luas,

Pabila disoal kalian menjawab sudah suratan takdir,

Sedangkan tika 1 pintu rahmat tertutup 99 lagi terbuka buat kita,

Mengapa kita jadi begitu sombong sedangkan Allah tetap memberi dan terus memberi,

malah Allah sudah berfirman tidak akan berubah nasib sesuatu kaum melainkan dengan tangan mereka sendiri,

kita terus membiarkan mata ini tertutup daN hati diselaputi nafsu yang menebal,

jalan iman itu indah dan nafsu itu bisa merosakkan kita,

kita semakin lalai dan terusan lalai malah semakin lupa terhadap janji-janji yang dibuat kepada Allah,

kitalah satu-satunya makhluk yang berani menyahut seruan sebagai khalifah di bumi tika makhluk lain menggigil ketakutan,

betapa hina dan bodohnya kita terhadap apa yang kita telah lakukan dan banggakan,

ingatlah, jalan kebahagiaan atau kesengsaraan merupakan pilihan hidup terletak bukan di tangan tetapi kembali ke pangkal hati,

carilah iman kerana ia tidak datang bergolek malah usaha terhadap hijrah itulah harusnya,

kembalilah duhai anak bangsaku.


Masya Allah, pernahkah kalian mendengarkan kisah tentang seseorang yang kehilangan untanya di padang pasir? Seseorang yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir, kemudian haiwan yang ditungganginya itu lari meninggalkannya, sedangkan di atas haiwan itu terdapat bekalan makanan dan minumannnya.Dia berputus asa untuk menemui haiwan dan bekalannya lalu, dia duduk berteduh di bawah sebatang pohon dan berbaring kerana dia benar-benar berputus asa untuk menemui haiwan tunggangannya itu. Kemudian dia tertidur.Sejurus dia bangun dari tidurnya, dia mencari lagi untanya itu dengan berjalan kaki namun dia tidak menjumpainya. Dia berjalan lagi, namun gagal menjumpainya. Dia mencarinya untuk kali ketiga, namun usahanya itu masih gagal. Apabila dia kembali ke tempat tidurnya sebelum itu, tatkala dia duduk termenung, tanpa diduganya, tiba-tiba unta tunggangannya yang hilang itu muncul kembali, lengkap dengan bekalan yang dibawanya. Kemudian, dia segera memegang tali tambatannya. Bayangkan kalau kita berada di tengah padang pasir yang luas dan panas yang terik, hampir berputus asa untuk mencari unta yang hilang, tetapi tiba-tiba unta itu muncul kembali di hadapan kita. Mana mungkin kita tidak gembira, gembira yang bukan kepalang..namun sahabatku, sesungguhnya, Allah s.w.t itu lebih jauh lagi gembiranya dengan taubat seorang hamba berbanding dengan musafir yang menemui untanya di padang pasir itu tadi.

Sungguh, Allah telah membukakan pintu rahmatNya di siang hari untuk menerima taubat hamba-hambaNya dan membukakan pintu rahmat pada malam hari untuk menerima taubat hamba-hambaNya pada malam hari tetapi, melihat keadaan kita pada hari ini, yang masih lagi dengan ego dan sombong yang menebal pada diri cita-cita tinggi dijulang, mengimpi syurga Allah, namun tanpa sedar, amalan- amalan yang kita lakukan itu semakin membuatkan kita jauh dari syurgaNya jauh dari rahmatNya. Amatlah rugi bagi mereka yang telah diberi peringatan, tapi masih bermegah-megah dengan diri sendri, tanpa sedar apa yang kita miliki ini semuanya adalah milik Allah. Alangkah sedihnya Allah, seakan tiada siapa lagi yang memerlukanNya, seakan tiada siapa yang mahukan taubatnya diterima, seakan tiada siapa yang mahu dosanya diampunkan, dan seakan tiada siapa yang berlumba-lumba untuk meraih cintaNya Yang Maha Pengasih, lagi Pemurah itu.

“Hidup ini adalah satu perjalanan sama ada dalam kebahagiaan dan kesengsaraan. Hari semalam adalah sejarah, hari esok adalah masa depan, dalam menempuh perjalanan yang penuh dengan pengharapan, kita teroka perasaan suka dan duka serta gembira. Mungkin sebagai hamba kepada yang Esa, kita sering kali tertanya-tanya apakah hikmah disebalik semua ini? Yang pasti setiap perkara yang kita tempuhi membuatkan diri kita lebih matang dan mengerti hakikat kehidupan sebelum semua terlambat, sebelum matahari terbit sebelah barat, bertaubat sebelum terlambat, hargai dan bersyukurlah dengan nikmat yang kita dapat, hargailah mereka yang berada di merata tempat kerana yang pergi tetap akan pergi yang ada teruskan keidupan dan ingatlah, perjalanan ini hanya tempat persinggahan menuju ke alam yang abadi.”

0 comments: