RSS

Tuesday, January 22, 2013

Rona cinta persahabatan kita

 
Kita sudah lama kenal. Kadang-kadang kita tidak sedar pun usia persahabatan dan waktu yang bergerak begitu pantas. Kita terlupa untuk memandang ke belakang, menggapai memori kelmarin. Namun, apabila perpisahan menghampiri barulah kita menyedari betapa kita terlupa untuk menikmati manisnya madu persahabatan ini. Itulah manusia, sering terngadah apabila kehilangan, selalu tersedar apabila tiada. 

Rasulullah saw pernah ditanya oleh para sahabat: “Apakah ciri-ciri seorang manusia yang boleh dijadikan sebagai teman yang baik?”
Baginda saw menjawab yang bermaksud: “Dia adalah teman yang bersama-sama membantu kita ketika kita mengingati Allah swt dan dia jugalah yang memberi peringatan kepada kita ketika kita alpa dan lalai dalam mengingatiNYA.”

          Kita menangisi perpisahan ini tetapi janganlah dilupa mengapa kita bersahabat sehingga kini, siapakah yang mentautkan ikatan hati kita..melainkan Dia pencipta kasih sayang. Syukur kepada Allah kerana telah menemukan hati-hati kita dalam ikatan cinta menuju redha-NYA.


 
Bandar Baru Bangi sehingga ke Segamat, Allah lakarkan perjalanan persahabatan kita. Allah uji dengan pelbagai rasa. Ikatan ukhuwah yang dibina berkocak seketika, adakala di atas dan tidak kurang juga di bawah. Namun, walau banyak mana sekalipun pahit dan manis yang kita rasa, hebatnya Allah sehingga sekarang kita masih tetap bersama-sama. Setia dengan ikatan ini. Kekuatan ukhuwah itu sebenarnya terletak pada kuatnya iman dan taqwa yang mengikat seperti firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat sepuluh.

          Kadang-kadang pergaduhan kecil dan salah faham memecah suasana keharmonian dan kedamaian antara kita. Namun, setelah diselusuri secara mendalam, sedangkan lidah dan gigi lagi tergigit apatah insan seperti kita. Bukankah Allah sudah berfirman, seorang mukmin itu perlunya ada sifat saling memaafkan dan bertolak ansur? Setiap ujian yang hadir bukanlah membawa keburukan bukan juga memberi bencana tetapi memberi kemanisan bagi mereka yang sabar dan ikhlas dalam berhadapan setiap onak duri yang hadir.


 
Sahabat, kita di tahap ukhuwah yang mana satu? Ingat atau tidak dengan kata-kata ini? “sahabat itu apabila antara mereka dapat menerima kelemahan dan membantu menutup aib”, itu mungkin definisi sahabat bagi saya. Terima kasih kerana sering bersama, menerima segala kelemahan, menasihati apabila tersasar, meniup kekuatan apabila langkah mula longlai, mengambil berat apabila sakit menjenguk..terima kasih atas segalanya. Kalian sahabat ku di dunia dan insyaAllah kita berjiran pula di syurga nanti. Amiin…

Sedingin embunan dedaun kehijauan
Sesegar ingatan kenangan kisah silam

Kita seiringan bersatu dan berjuang
Meniti titian persahabatan
Kau hadir bawa cahaya
Terangi hatiku teman
Saling memerlukan dan mengharapkan


Tangis gembira disaat bahagia
Moga kan kekal menuju ke syurga
Kerana tuhan kita ditemukan
Andai terpisah itu ketentuan

Sedingin embunan dedaun kekeringan
Sesegar ingatan kenangan kisah silam
Kita seiringan bersatu berjuang
Meniti titian persahabatan

Sengketa dan kesilapan
Itulah fitrahnya insan
Kata dan teguran
Itulah pedoman

Jangan pernah dipadam memori antara kita. Tamatnya perjuangan untuk mendapat segulung ijazah bukanlah bermakna penamat persahabatan kita. Selamat berjuang di dunia yang lebih mencabar. Semoga doa menjadi rantai ukhuwah antara kita walaupun jarak yang berbatu memisahkan. Sama-sama kita saling mengingati dan merindui, sayang kamu semua kerana Allah.


KENANGAN TERINDAH...








Monday, January 14, 2013

singkatnya waktu

3 semester..tik tok..tik tok..bagaikan sekelip mata ianya berlalu. Kehidupan terasa begitu ringkas. Seringkali kali kita terlupa dan alpa satu hari di akhirat diibaratkan beribu tahun di dunia. Kadang kala masa terasa berjalan begitu lambat tetapi, kita terlupa lagi. Jika dibandingkan dengan kehidupan di dunia hakiki, tidak terbanding dengan kehidupan di dunia.

Ada yang berkata satu tahun enam bulan itu masa yang sekejap dan tidak terlalu lama. Namun, apabila diteliti dengan sedalam-dalamnya, terlalu banyak perkara yang telah berlaku dalam masa yang singkat. Tidak kurang juga ujian yang silih berganti membuatkan kita semakin kenal akan pencipta diri. Surah Al-Asr, telah Allah memberi peringatan kepada manusia yang mana mereka berada dalam keadaan kerugian melainkan orang-orang beriman dan bertaqwa.

Setiap insan miliki impian dan objektif mereka yang tersendiri. Masing-masing punya cita-cita dan pemikiran yang berbeza. Lain orang, berbeza caranya. Bahkan ada yang sanggup memutuskan silaturahim hanya kerana perbezaan pendapat. Adakah ini sikap mukmin sejati? Mari kita selusuri sejarah, bukan hanya sekarang terjadinya perbezaan ini bahkan sejak zaman para sahabat lagi sudah berlaku. Ini menandakan kehebatan Allah. Maha hebat Dia yang menciptakn sejumlah manusia yang sangat ramai tetapi berbeza antara satu sama lain.

Allah telah berfirman juga, Aku telah turunkan satu sikapKU kepada hamba-hambaKU iaitu kasih sayang. Setiap manusia miliki orang ataupun benda yang amat mereka sayangi. Namun begitu, mereka sering terlupa untuk mengucapkan syukur atas rasa yang dihadiahkan kepada mereka dan sering terlupa kepada pencipta Kasih sayang sehingga meletakkan Dia di kedudukan yang rendah.

Alhamdulillah atas segala kurniaan MU. Apabila berbicara soal kasih sayang, maka hatilah menjadi makamnya. Hati. Pasti kita pernah mendengar hati manusia sering berubah. Ya!Ini kerana Allah pemegang hati kita. Dia mampu mengubah hati kita apabila Dia mengkehendaki. Hati manusia boleh berubah dan kadangkala dengan alasan yang tidak munasabah. 

.....................................................................................................................................................................

Aku bersyukur kepada Allah. Banyak yang harus dilalui sehinggakan diri terhenyak dengan persoalan-persoalan yang tiada penghujung. Terlalu banyak perubahan. Jika dulu dia insan yang sering bersama, tetapi mungkin kini kita menjadi orang yang ingin mereka jauhi.  Mereka yang rapat dan baik dengan kita tidak semestinya akan bersama-sama sehingga ke syurga. Pasti ada uji antarakita dan Dia yang Allah turunkan untuk menguji ukhuwah yang terbina. 

Jangan mudah merasa sedih dengan ujian. Itukan tanda cinta Allah kepada kita? Allah menguji kita kerana Dia tahu kita ini hambaNYA yang punyai iman, jadi Dia menguji. Jika kita bersabar, hebatlah ganjaranNYA. Jika tidak, ruginya kita. Kita seronok apabila dipanggil untuk ditemuduga kerja, tetapi mengapa kita tidak suka apabila Allah ingin meng"interview" kita melalui ujian-ujianNYA?

‘Munajat Seorang Hamba’
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kupandang hamparan langit berwajah malam,
Sinaran bintang – bintang berkerdipan,
Sang rambulan menebar cahayanya,
Menerangi pelosok alam semester.
Wajah siang mula muncul…..
Bertemankan sinaran sang mentari berkilauan,
Putaran alam menjelma lagi,
Menitip sekilas bukti kekuasaan Yang Esa….
Itulah tanda keagungan kuasaMu,
Ya Allah…. ( Tuhan ),
Lalu kubersujud padaMu,
Memohon restu dan rahmatMu….
Oh….Maha Agung KuasaMu….. Tuhanku….
Ya Ilahi…….
Hidup ini penuh ranjau onak berduri,
Jatuh tersungkur, bertatih bangkit….
Hanya padaMu aku mengadu…..
Oh tuhanku…….
Oh Tuhan …. Ya Rahman….
Aku pohon padaMu….
Engkau cekalkan hati nuraniku
Agar dosa menjauhi diriku….
Ya Rahim… aku berserah padaMu,
Engkau berilah nurMu…..
Mengiringi setiap gerak langkahku,
Kerana aku takut kemurkaanMu…
Oh…. Maha Agung KuasaMu…..
Yang Maha Esa….
 
 
sajak ini dicopy daripada: http://sicantekdiamond.blogspot.com/2012/08/sajak-ketuhanan-untuk-sahabatku.html

Friday, December 21, 2012

Takwa: Ketika Bersendirian dan...



Bismillahirrahmanirrahim..

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” 
[QS Ali ‘Imran, 3:102]


“Bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah semua manusia dengan budi pekerti yang baik.” 
[HR Tirmidzi. Ia berkata, “Hadith hasan dalam kitab lainnya dikatakan, hadith hasan shahih]

Bersendirian. Itulah saat yang paling digeruni oleh seorang mukmin. Tetapi, itulah saat yang paling digemari oleh musuh kepada mukmin iaitu iblis dan bala tenteranya yang setia. Kebiasaannya, fenomena seperti ini berlaku ketika mana ikhwah atau akhwat itu pulang ke rumah untuk cuti semester atau kebetulan dia ditempatkan di suatu medan yang jauh.

Ikhwah atau akhwat yang pada asalnya sangat bersemangat dan bertenaga dalam mengendalikan tanggungjawab dakwah semasa di kampus mula kelihatan semakin ghaib dan ghaib dan ghaib dan terus hilang kadang-kadang. Panggilan telefon tidak berjawab. Mesej tidak berbalas. ‘Chatting’ tidak berespon tetapi statusnya ‘online’. Ikhwah atau akhwat yang pada asalnya sangat antusias dan ghairah dalam melaksanakan dan menggerakkan dakwah ketika saat di bersama-sama dalam keadaan ikhwah dan akhwat yang sangat ramai malahan lesap dan terus lenyap ketika dia mula keseorangan kerana terpaksa pindah ke tempat jauh atau berlaku tragedi.

“Afwan akhi, ana tiada kekuatan..” 

“Asif akhi, ana merasa lemah bila duduk di rumah. Tiada ikhwah yang memantau ana..”


Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Pertama, mari kita lihat pada alasan-alasan yang diberika dahulu.

Jika alasannya ialah tiada kekuatan. Satu benda yang ana mahu ingatkan kepada dia ialah di mana dia meletak sumber kekuatan dia selama ini? Adakah dia meletakkan sumber kekuatannya mutlak kepada Allah SWT atau sebaliknya? Saya selalu mengingatkan diri saya sendiri dan ikhwah-ikhwah untuk tidak meletakkan sumber kekuatan kita kepada manusia kerana manusia itu sendiri belum tentu kuat, bahkan secara realitinya dia sendiri memerlukan kekuatan dari suatu sumber yang lain.

Secara fizik, tenaga akan mengalir dari satu kawasan kepada suatu kawasan yang lain bergantung kepada kecerunan atau perbezaan darjah. Tenaga yang tinggi akan mengalir dan memenuhi kawasan yang mempunyai kadar tenaga yang rendah.

Secara praktikalnya, jika kita meletakkan sumber kekuatan kita kepada seseorang yang kuat, dia mungkin akan memberikan kita tenaga untuk kita bangkit dari kelemahan. Tetapi persoalannya, untuk berapa lama? Lambat laun manusia itu akan kehabisan tenaganya lalu mati. Kemudian, kepada siapa perlu kita bergantung? Tetapi jika kita meletakkan sumber kekuatan kita kepada Allah, ketahuilah bahawa Allah itu Maha Kuat dan tidak akan mati. Tenaga yang dimiliki-Nya tidak dan tidak akan pernah habis, bahkan Dia jualah sumber kekuatan untuk “peribadi” yang kita merasakan dia hebat itu tadi.

Sia-sialah jika kita meletakkan pergantungan kita baik dalam masalah kehidupan biasa atau dalam masalah gerak kerja dakwah selain daripada Allah kerana dalam sebuah hadith qudsi, Allah telah mengingatkan kepada kita bahawa kita (manusia) memang tiada apa-apa langsung melainkan Allah-lah yang telah memberikan kepada kita semuanya.

Dari Abu Dzar Al-Ghifari RA dari Nabi Muhammad SAW  yang diriwayatkan dari Allah Azza wajalla: Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman maksudnya :

"Hai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku haramkan perilaku zalim atas diri-Ku dan Aku jadikan di antaramu haram maka janganlah kamu saling menzalimi. Hai hamba-Ku! Kamu semua sesat kecuali orang yang telah Kami beri petunjuk maka hendaklah minta petunjuk kepada-Ku, pasti Aku beri petunjuk. Hai hamba-Ku! Kamu semuanya lapar kecuali yang telah Aku beri makan, hendaklah kamu minta makan kepada-Ku, pasti Aku memberi makan padamu. Hai hamba-Ku! Kamu semua telanjang kecuali yang telah Aku beri pakaian, hendaklah kamu minta pakaian kepada-Ku, pasti Aku memberi pakaian padamu. Hai hamba-Ku! Sungguh kalian lakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni dosa-dosa itu semua maka mintalah ampun kepada-Ku, pasti Aku akan mengampuni kalian. Hai hamba-Ku! Sungguh kalian tidak dapat membinasakan Aku dan kalian tidak dapat memberi manfaat kepada-Ku. Hai hamba-Ku! Jika orang terdahulu dan orang yang terakhir daripadamu, manusia dan jin semuanya, mereka itu berhati takwa seperti paling takwa diantaramu, hal itu tidak akan menambah kerajaan-Ku sedikit juga. Hai hamba-Ku! Jika yang pertama dan terakhir daripadamu, manusia dan jin seluruhnya, mereka berhati jahat seperti paling jahat diantaramu, itu tidak akan mengurangi kerajaan-Ku sedikitpun. Hai hamba-Ku! Jika orang terdahulu dan terakhir diantaramu, manusia dan jin semuanya, mereka berada di bumi yang satu, mereka meminta kepada-Ku maka Aku berikan setiap orang permintaannya, hal itu tidaklah mengurangi apa yang ada pada-Ku, melainkan seperti sebatang jarum dimasukkan ke laut. Hai hamba-Ku Sungguh itu semua amal perbuatanmu. Aku catat semuanya bagimu sekalian kemudian Kami membalasnya. Maka barangsiapa mendapat kebaikan hendaklah bersyukur kepada Allah dan barangsiapa mendapat selain itu maka janganlah ia menyalahkan kecuali dirinya sendiri." 

[HR Muslim, no. 117]

Bahkan Rasululllah ketika direjam dengan batu oleh penduduk Taif, dia tidak meletakkan pergantungan kekuatan dan kejayaan dia melainkan kepada Allah SWT semata-mata.

"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaan-Mu. Pengetahuan-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nya-lah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"

Jika alasannya ialah tiada yang memantau, maka perlulah dia ingat bahawa Allah SWT sentiasa memantau diri dia walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana Allah SWT itu Maha Melihat.


Terlupa semua ini? 

Kerana itulah kita sangat memerlukan lingkungan atau ikhwah dan akhwat kita untuk saling mengingatkan dan membantu kita.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta'at pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” 
[QS at-Taubah, 9:71]

Bahkan Rasulullah SAW juga mengingatkan kepada kita mengenai sebuah hadith,

"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai". 
[HR Ahmad]

Dan Khalifah Umat Islam yang kedua, iaitu Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab juga pernah mengatakan bahawa,

“Tiada Islam, tanpa Jemaah.”

Jemaah di sini secara mudahnya merujuk kepada perkumpulan atau satu ikatan persaudaraan (ukhuwwah) antara seorang muslim dengan yang lainnya. Oleh itu, suasana ukhuwwah islamiyah dan ukhuwwah imaniyah memang perlu kita tanam dan semaikan dan hidupkan dalam kehidupan seharian kita kerana itulah antara ruang dan peluang untuk kita sama-sama menjaga kualiti iman kita kepada Allah SWT hinggakan Rasulullah SAW mengisyaratkan kepada kita,

“Tidak beriman seseorang di antara kamu selagi dia tidak mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.” 
[HR Bukhari]

Iman dan ukhuwwah diletakkan pada satu tahap yang sama. Hilang salah satunya maka akan membawa kepada kesan yang buruk. Ada sahaja orang yang beriman, tetapi tidak berukhuwwah. Ada juga yag berukhuwwah, tetapi tiada iman. Allah SWT juga mengingatkan kita antara tujuan kita berukhuwwah ialah untuk saling memperbaiki diri kita sama-sama untuk menuju kasih sayang-Nya (rahmat).

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” 
[QS al-Hujurat, 49:10]

Bahkan jauh lebih penting ialah untuk menuju ketakwaan di sisi Allah agar meraih redha menuju syurga.

“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” 
[QS az-Zukhruf, 43:67]


Masalah Sebenar
Sebenarnya, masalah sebenar kita ialah terdapat pada hati kita, kerana Rasulullah SAW sendiri mengisyaratkan kepada kita bahawa,

''Taqwa itu di sini, taqwa itu di sini, dua kali atau tiga kali, sambil beliau menunjuk dengan tangan beliau ke arah dadanya.'' 
[HR Ahmad]

Takwa itu di dalam dada ataupun hati kita. Bukan hanya ada ketika kita membaca al-Quran atau ziarah ke masjid. Jika ketakwaan kita benar-benar ada di dalam hati kita, insya-Allah di saat kita sedang dalam keramaian mahupun sedikit, kita tetap mampu beriman dan bertakwa kepada Allah dengan baik. Jika takwa tidak lagi mendiami hati kita, maka wajarlah graf keimanan kita menurun dan kita mula melemah sehinggakan mudahlah kita untuk termakan atau sengaja memakan pujuk dan rayu hawa nafsu kita yang  sedang ditunggangi syaitan.

Abu Dzar ketika diarahkan pulang ke kampungnya tidak pernah memberikan alasan kepada Allah dan Rasulnya untuk tidak berbuat kerja dakwah dan tarbiyah kerana dia bersendirian tanpa teman, malahan masyhur dalam kitab-kitab sirah menceritakan bahawa dia membawa seramai 5000 keluarga dari suku Ghifar dan suku Salam selepas perang Khandak ke Madinah bertemu Rasulullah SAW dalam tempoh beberapa tahun sahaja! Mus’ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum tidak pernahmemberikan alasan kepada Allah dan Rasulullah SAW untuk tidak berbuat kerja dakwah ketika mereka hanya berdua yang pergi ke satu tempat baru untuk membuka lahan dakwah. Jika bukan mereka yang kita contohi, siapa lagi?

Wahai ikhwah dan akhwat yang dikasihi, hati yang kotor tidak akan didiami oleh sesuatu yang mulia seperti takwa. Mungkin sahaja dia merajuk kerana kita tidak memelihara atau memberikan perhatian kepada dia dengan benar, lalu dia lari. Apabila hati sudah kotor, maka wajarlah akhlak kita sesama manusia dan sesama Allah semakin teruk kerana hati yag bersih akan melahirkan jasad yang bersih. Hati yang kotor akan menjelmakan akhlak yang kotor juga. Maka bersihkalah hati kita dengan al-Quran, solat malam dan pelbagai lagi ibadah sunnah yang ada disamping kita menjaga dengan benar ibadah-ibadah yang wajib. Selalulah kita mencari peluang untuk memberi peringatan dan mendengar peringatan agar diri kita yang sentiasa mudah lupa dan leka serta lalai ini sentiasa berada di dalam keadaan terjaga dan sensitif terhadap masalah iman dalam hati kita dan diri orang lain. Hidupkanlah halaqoh untuk diri kita dan lingkungan kita. Pergilah pujuk takwa itu untuk kembali.

Ketika bersendirian, jangan kita menjauhi ikhwah atau akhwat kita kerana itu akan membuka ruang kepada syaitan untuk memanfaatkan keadaan itu untuk lebih menyesatkan diri kita lagi. Komunikasi pada zaman sekarang ini sangat mudah, cuma tinggal kepada kita sahaja sama ada mahu memanfaatkannya atau tidak.


Kesimpulannya
Akhir sekali untuk semua ikhwah dan akhwat, jangan tinggalkan sesuatu kebaikan hanya kerana kita telah melakukan seribu kejahatan kerana mungkin sahaja perbuatan baik itu bisa menghancurkan beribu kejahatan yang telah kita lakukan. Insya-Allah.

“Bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah semua manusia dengan budi pekerti yang baik.” 
[HR Tirmidzi. Ia berkata, “Hadith hasan dalam kitab lainnya dikatakan, hadith hasan shahih]


Mohamad Khir bin Johari
Kaherah, Mesir
15 Okt 2012

Dakwah: Kenapa Kita Asyik Di Tolak?



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


"Weyh, maaflah, aku ada hal, tak dapat datang usrah kau. Maaf ya.."

"Aku letih sangatlah semalam, kalau aku datang pastu tidur nanti tak elok pula.."

Sebagai seorang murobbi, naqib atau secara umumnya kita gelar sebagai pendakwah, pasti akan wujud rasa sedih dalam diri kita ketikamana insan-insan yang kita ajak untuk berusrah, berhalaqoh atau secara umumnya kita katakan membuat usaha kebaikan, malahan ditolak, diberikan alasan dan macam-macam lagi yang membawa konklusi akhir iaitu, "Dia tak datang.."

Sedih itu wajar. Kerana itu Allah SWT telah awal-awal lagi mengingatkan kepada kita bahawa, 


وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ 

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."

[QS Ali 'Imran, 3:139]


Kalau kita perhatikan lagi di dalam muka surat lain daripada surat cinta Allah kepada hamba yang membacanya,


فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

"Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu karena bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Qur'an)."

"Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya."

[QS Al-Kahf, 18:6-7]


Dakwah atau seruan kita ditolak? Itu biasa. Dakwah kita difitnah sesat, tidak ikut syariat, tiada ustaz yang mursyid? Itu biasa. Orang kata kita ini syadid, keras, tidak mengikut waqi'? Itu biasa.

Yang luar biasanya ialah ketikamana kita masih juga dapat bertahan dan terus berusaha mencari benih yang baik untuk ditanam agar tumbuh menjadi pohon yang baik lagi rendang dan manfaatnya. Itu luar biasa! Ketikamana manusia lain berlumba-lumba dan saling tolong menolong untuk menebang dan mambaling batu kepada kita, kita malahan membalas perbuatan makarmereka dengan buah-buahan yang enak dan senyuman yang manis. Itu.. Luar biasa..

Kerana itu memang hakikatnya. Untuk mencari manusia yang akan membantu dan berkorban bersama-sama kita untuk mengajak manusia mengenal islam dan iman, ternyata itu sangatlah amat susah. Tetapi, untuk mencari mereka yang hendak menghalang usaha dakwah, tidak perlu dicari! Mereka akan datang sendiri. Yang lebih menyedihkan lagi apabila yang menghalang, mengfitnah dan memburuk-burukkan kita itu kadang-kadang ada title "ustaz" dan graduate dari Timur Tengah dan sebagainya, dengan alasan yang kadang-kadang tidak boleh diterima akal, "kerana kita bukan daripada jemaah mereka!"

Macam-macam..

Jadi, biasalah itu dakwah ditolak..


“Ditunjukkan padaku berbagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua orang pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada sepuluh orang). Adapula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. 

[HR Bukhari dan Muslim]


Kalau kita perhatikan kata Rasulullah SAW ini, ada nabi yang tiada pengikut! Takkanlah seorang nabi tidak berdakwah sampai tiada pengikut? Seseorang yang dapat wahyu secara langsung daripada Allah SWT. Tapi, kenapa dia tiada pengikut? Ana yakin bukan kerana dia tidak berusaha, tapi kerana masyarakat yang tidak mahu.

Namun tiada seorang nabi pun yang mengubah prinsipnya kerana inginkan pengikut. Sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s. seperti yang dirakamkan oleh al-Quran dalam surah Nuh.



Cuma akhi.. Itu semua faktor eksternal. Kita perlu mengoreksi dan mengintrospeksi kembali diri kita dengan lebih dalam untuk mencari apa sebenarnya punca masalah kita, "Kenapa dakwah kita ditolak?"

Kenapa kadang-kadang kita lihat ada orang yang gagap, tidak belajar agama, tidak pernah hadiri dauroh skill, dan macam-macam lagi kekurangan yang dia ada, tetapi begitu ramai mad'u mutarobbi yang begitu rindu kepada dia?

Kenapa kadang-kadang kita lihat ada orang yang gagah, tinggi ilmu agama, dna macam-macam lagi kelebihan yang dia ada, tetapi ramai orang yang membenci atau tidak terkesan apabila duduk bersama mereka?

Ketika saya menyelak beberapa buku untuk mencari masalah sebenar kenapa usaha dakwah saya tidak menjadi seperti saya duduk di Malaysia (walaupun tidaklah hebat manapun~ haha), saya menjumpai satu kata sepakat daripada dua orang penulis yang sangat terkenal dengan prestasi dakwah dan tarbiyah mereka iaitu Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan Muhammad Abduh. Mereka secara tidak langsung sepakat meletakkan kunci pertama dalam keberhasilan dakwah yang kita usahakan ini akan sangat tergantung kepada kekuatan Iman! Iman yang ampuh, tidak tergoda dengan kemasyhuran, kesibukan dunia, kekayaan, wanita dan macam-macam lagi!

Syeikh Muhammad Abduh dalam bukunya "Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah", membahagikan suatu pergerakan dakwah itu kepada dua dimensi. Satu, dimensi iman. Yang kedua, dimensi kerja. Apabila suatu usaha dakwah itu tersangkut atau gagal, maka setiap murobbi, ikhwah, akhwat atau qiyadah perlu memerhatikan kembali dua dimensi ini dalam setiap ikhwah dan akhwat yang ada. Kehilangan ruh di salah satu dimensi ini akan menyebabkan dimensi yang lain tidak dapat melakukan fungsinya dengan baik, maka wajarlah satu usaha dakwah itu gagal.

Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi pula menggambarkan dalam bukunya, "Aku dan Ikhwanul Muslimim", bagaimana para ikhwan yang ditangkap, diseksa dan ditekan oleh pemerintah pada zaman awal-awal dakwah mereka ialah mereka yang sentiasa berfikir bagaimana hendak beriman pada Allah baik dalam keadaan bebas atau dipenjara. Sebelum mereka memasuki penjara, mereka tidak berfikir bahawa Allah telah menzalimi mereka atau memikirkan cara untuk lari dari penjara atau membunuh presiden dan sebagainya. Tetapi, yang mereka fikirkan ialah "BAGAIMANA MAHU MENGUBAH PENJARA MENJADI MASJID?".

Menjadikan mereka semakin kuat dan kuat hinggakan wajar sahaja fikrah dakwah mereka tersebar hampir ke seluruh pelusuk dunia, menggegarkan kebatilan dan memancarkan kebenaran dalam hati-hati manusia yang dahagakan identiti Islam.

Dimensi kerja? Sebagai pelajar perubatan, kejuruteraan dan macam-macam lagi bidang profesional yang kita lalui sekarang ini, saya yakin bahawa dimensi kerja bukan merupakan masalah utama kita yang menyebabkan kenapa kita ditolak, akal dan tahap IQ kita boleh berfikir dengan sangat baik untuk merancang dan berbuat. Tetapi saya yakin masalahnya terletak pada DIMENSI IMAN.

Seterusnya, saya terbaca juga sebuah hadith yang membuatkan hati saya menangis.. Saya merasakan inilah punca utama, kenapa usaha kita tidak membuahkan hasil. Kerana ALLAH BENCIKAN KITA.


"Sesungguhnya Allah jika mencintai seorang hamba. Ia akan mengatakan kepada Jibril, 'Aku mencintai seseorang, maka cintailah orang itu!' Jibril pun mencintainya. Setelah itu, dia bahkan menyeru penduduk langit, 'Allah telah mencintai seseorang, maka cintailah orang itu!' Penduduk langit pun mencintai orang itu. Kemudian ditempatkanlah rasa cinta pada dirinya dalam hati penghuni bumi. Jika membenci seseorang, Allah juga akan mengatakan kepada Jibril, 'Aku membenci seseorang, maka bencilah orang itu!' Jibril pun membencinya. Dia pun lantas menyeru penduduk langit, 'Allah telah membenci seseorang, maka bencilah orang itu!' Penduduk langit pun membencinya. Setelah itu, baginya diletakkan rasa benci pada dirinya dalam hati manusia di bumi."

[HR Muslim]


Ikhwah dan akhwat yang dikasihi, apabila Allah membencikan kita, maka kebencian Allah itu akan menjalar hingga kepada Jibril sampai ke penduduk langit dan bumi semuanya.

Hinggakan dakwah kita susah untuk diterima, tawaran kita lebih mudah ditolak, kata-kata kita hanya hebat dari segi fakta dan nada tetapi tiada ruh yang menghidupkan hati.

Kenapa Allah bencikan kita? Kerana antaranya kita sering berkata-kata, tetapi kita tidak melakukannya.

Kita hidupkan hati manusia lain, tapi hati kita tidak pernah kita hidupkan. Kita bersihkan dosa manusia lain, tapi dosa kita tidak pernah kita bersihkan. Kita sibuk memikirkan perubahan dalam diri manusia lain, tapi perubahan dalam diri sendiri tidak pernah kita usahakan.

Kita sibuk berkata, berfikir dan berbuat untuk orang lain. Tetapi, untuk diri kita sendiri tiada. Ini belum cerita tentang masalah dosa dan maksiat yang menjadi rutin dalam kehidupan kita!

Sedangkan, kita selalu baca ayat ini..


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

"Mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?"
"Itu sangatlah amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."

[QS As-Saff, 61:2-3]


Akhir kata

Cuba kita nilai kembali diri kita. Kenapa Allah SWT masih lagi menangguhkan kemenangan dan pertolongannya pada diri kita? Kerana mungkin memang kita masih lagi tidak layak untuk menjadi insan yang mulia untuk mengemban tanggungjawab dakwah yang hanya akan dipikul oleh mereka yang mulia.

Kepelbagaian fikrah dan jemaah, kerosakan mentaliti masyarakat, skill kita dalam berinteraksi dengan manusia dan macam-macam lagi faktor eksternal itu memang saya akui merupakan sebahagian yang menyebabkan kita kadang-kadang gagal.Tetapi, kita kena ingat bahawa yang mewujudkan rasa benci dan cinta itu ialah Allah. Bukan mereka.

Ayuh, kita baiki semula dimensi iman kita, dan terus memantapkan lagi dimensi kerja kita. Sama-sama kita kembali ikhlaskan niat kita dalam berdakwah, dan kemudiannya bermujahadah dalam membinca dimensi iman dan dimensi kerja kita untuk kemenangan agama Allah ini. Kemudian kita sama-sama istiqomah dan sentiasalah menadah tangan untuk berdoa kepada Allah.

Semua orang layak untuk menjadi murobbi. 

Cuma lambat atau cepat sahaja masalahnya. Bagaimana mahukan manusia cintakan kita? Maka binalah hubungan cinta kita kepada Pemilik Cinta! Insya-Allah, mata rantai dakwah ini akan mula lestari.


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ
ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ 

“Katakanlah: ‘Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Dan, Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani”

[QS Ali ‘Imran, 3:31]


Mohamad Khir bin Johari
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams, Mesir

Thursday, December 13, 2012

SAKIT itu HADIAH

MATI itu PASTI..

Saturday, November 17, 2012

Mengubati Hati Yang Luka...

Pelbagai perkara berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ada ketikanya, hati kita terluka kerana disakiti oleh orang lain atau suasana.
Beberapa cara boleh kita amalkan untuk mengubati hati yang terluka. Keberkesanannya bergantung kepada diri anda, namun berikut adalah cara yang sering dikongsia oleh pakar.

1. Latih Minda Melupakan Kenangan Pahit
Bunyinya senang nak dibuat, tapi perlu diaplikasi berterusan. Mengaku saja anda sering merasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu, betul tak? Kita kena cut connection feeling kita dengan emosi yang lalu. Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu, selupa yang mungkin, kasi kosong abis! Bulatkan azam untuk fokus kepada masa depan anda, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan-rakan. Anda takkan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tapi lakukan step by step dengan mengalihkan perhatian anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.

2. Buang Sikap Risau
Ada dua kesan dari sikap risau ni, pertama ia menarik nasib tak baik, masalah dan musibah - tanpa anda pinta. Kedua, memberi kesan buruk pada kesihatan anda dari segi fizikal dan mental.
Risau membuat anda selalu menjadi sedih dan kecewa. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal emosi.

3. Belajar Rajin Bersyukur
Ucap syukur atas kesemua yang anda ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana Anda masih ada 5 deria yang lengkap; anda boleh melihat dan menarik nafas tiap kali bangun tidur, anda ada kawan rapat yang memahami anda dan anda mempunya handphone kesayangan anda. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.

4. Belajar Menjadi Pemaaf
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif. Seterusnya, meneutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda. Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tidak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu. Belajar menjadi pemaaf dan menghapus semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.

5. Ketawa, ketawa dan terus ketawa
Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan anda serta menjadikan anda girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari "funny side" dalam setiap situasi; agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa layan kecewa sedangkan anda boleh ketawa? Come on...

6. Ubah Fikiran
Kita tak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari disebalik mendungnya awan.

Walaupun perkara tidak berpihak kepada anda, cari cara bagaimana anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya. Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang.
Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk sedangkan anda boleh tarik semua yang baik-baik?
Fikir yang buruk, Anda dapat yang buruk jawapnya. Ini hukum alam dinamakan hukum sebab dan akibat.

7. Hati Mesti 'Keras'
Bukan keras sembarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tapi balasan pada perbuatan-perbuatan anda di masa lalu. Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya.

Cuba ingat balik kejahatan kecil yang anda lakukan pada orang lain, mungkin ada walau anda tak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan. Sebelum masuk tidur, set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya.

Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri.
Selepas bangun tidur, katakan pada diri ini adalah hari yang baru untuk Anda.
Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru tu hari yang baik, sungguh baik, sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya.

Sunday, November 11, 2012

Cerita saya dan sahabat

sahabat...
tidak semua dapat jadi sahabat kita
kerana tidak semua yang sudi dengan ikhlas memberi bahunya untuk kita menangis
tidak semua juga mampu faham akan diri kita
tidak semua yang ikhlas dengan kelemahan-kelemahan kita
hanya mereka insan terpilih yang sudi menjadi sahabat...


sahabat...
ketika kita marah-marah..jatuh sakit..
hanya mereka yang cuba menyelami apa yang kita rasa sebelum menghakiminya..
itulah istimewanya sahabat..
tidak mudak berkecil hati kerana sangka baik adalah perisai mereka...

sahabat fillah..
dia yang setia bersama..
setia mendengar rintihan hati..
tidak pernah jemu bertapak di hati..

sahabat sayang..
walau jauh doa setia mengiringi..
ingatan tulus penuh kerinduan setia meniti..
kerana baginya walau jauh persahabatan itu masih segar dan akan tetap terus segar..

sahabat tercinta..
ada atau tidak mereka di dunia..ingatan buat mereka setia di hati..
memori bersama mereka tidak mungkin dapat dilupakan..
ceria, senyuman, tangisan, amarah mereka..
itu semua kenangan yang bakal menjadi ubat kerinduan..


sahabat ku...
kita saling melengkapi..
apa jua kelemahan mu aku terima..
kelemahan aku pun kamu terima
moga kita sama-sama memperbaiki diri agar dapat menjadi penghuni firdausi..


aku tetap aku yang dulu..
pusi ini dititip khas buat mereka yang sering bersama ku..
tanpa kalian, tidak akan tercipta memori indah itu..
ANA UHIBBUKUMULLAH...

Tuesday, October 23, 2012

"aku dan Dia"

Penuh bersawang blog ini seandainya ia dianggap seperti bilik, apa tidaknya sekian lama terbiar tanpa catatan dari jari jemariku..kerana terlalu banyak peristiwa yang berlaku sepanjang jari-jemari ini "berehat" seketika untuk mengetuk-ngetuk papan kekunci dan sign in ke ke blogger.com

Allah..Allah..Allah...terima kasih atas segalanya..tidak mampu untuk menaip dan menceritakannya di blog..cukuplah ia jadi rahsia antara aku dan Allah...kerana aku yakin di sebalik apa yang terjadi ada hikmah sedang disusunnya..mungkin sekarang aku tidak nampak..mungkin juga aku sedang belajar sesuatu..yang paling penting, Allah nak jadikan aku muslimah yang lebih baik..amin3 ya Rabb..jika ditoleh pada kenangan semalam, umapama mimpi dalam mimpi..

Tidak pernah terlintas di fikiran dengan apa yang bakal aku alami..tapi aku sedar, aku tidak berhak untuk bertanya kenapa..kerana aku yakin, inilah cara Allah menegurku dengan ikhlas..menunjukkan kasih sayangNya padaku..hampir sebulan lebih aku cuba bangkit ..mencari kekuatan..aku umpama hilang diri..aku jadi keliru..fikiranku bercelaru..peristiwa hitam itu bertimpa-timpa terjadi..sampai hati ini mula jadi tidak berperasaan..penat berfikir tentang perasaan yang hancur sehingga banyak kerja terbengkalai sedangkan tugas aku masih banyak..cita-cita masih belum dicapai..fokusku harus ke arah itu..

buat mereka yang aku sayang, terima kasih Allah..hadirnya mereka memberi seribu rencam..ada yang menghadiahkan kesakitan ada juga yang setia bersamaku..aku tetap sayang kalian...kalian wasilah dari Allah untuk mendidikku menjadi lebih baik..aku sedar diri masih lagi dilingkari dosa semalam..semuanya pasti berhikmah..Alhamdulillah..aku dah dapat diri aku kembali!!!aku berjaya bangkit dari luka semalam..

terima kasih Allah..walau pahit tetapi manis..yang indah itu xdapat dinilai..Allah..Allah..Allah..jangan Kau gelincirkan aku walau untuk seketika..Allahuakbar..

aku pernah rasa gembira
sedih, kecewa, marah tidak terkecuali
walau apa pun rasa yang hadir
aku sering terlupa itu semua datangnya dari Dia
kadang kala aku ambil kisah kata orang
akhirnya aku sedar untuk apa itu semua
aku perlu kisahkan dengan apa yang Allah bakal kata padaku
andai masih banyak amanah yang belum aku langsaikan

ujian itu hadir tanpa aku pinta
tetapi aku xsedar aku sering meminta-minta bahagia
sedangkan ujian itu juga harus aku pinta
kerana dari situ aku belajar sesuatu
Allah tahu apa yang berlaku pada ku
konflik yang ku hadapi
senyum, tawa itu plastik cuma
penyedap mata memandang
tetapi hati yang luka ini Dia yang rawat

zikrullah, kalamullah..aku lebih banyak tatapinya berbanding buku-buku pelajaran
aku sedang mencari kekuatan
mengumpul kekuatan
aku harus kuat
kuat dengan kasih sayang dan rahmatNYA yang tidak berpenghujung
aku tidak perlu hirau dengan yang lain
kerana bagiku kini, Allah lebih utama

biar apa pun yang terjadi
aku akan tetap melangkah
tohmahan, cacian, fitnah..itu semua duri-duri jalanan
kerana harga al-jannah itu terlalu mahal
jika ujian baik untukku..maka aku redha ya Allah..